Saturday, January 31, 2015

Jambatan Batang Samarahan

Ini adalah berita baik untuk Warga Samarahan. Setelah menunggu sekian lama, akhir projek pembinaan Jambatan yang merentangi Batang Samarahan akan dibina.

Jambatan  Batang Samarahan di jangka siap 3 tahun dari sekarang iaitu pada 29 Januari 2018.

Kerja pembinaan masih belum bermula namun tarikh pemilikan tanah telah pun di tanda pada 30 januari 2015.


Mencium Naga di Kampung Beliong


Beliong dalam sebutan bahasa Cina adalah "Wen Loong". Secara literal , ia bermaksud mencium naga. Tetapi tiada pula kelihatan Naga di Kampung Beliong. Namun jika anda berkunjung di sini, terdapat sebuah Tokong yang tersergam indah dan di pintu masuknya diukir dengan 2 ekor Naga yang saling berpandangan.



Tiada apa yang dapat anda lihat sepanjang perjalan ke sini. Namun keindahan semulajadi terserlah, berabung pasir yang panjang yang dicipta oleh aluvium Sungai Samarahan dari Kampung Beliong sehingga Sungai Tanju. Namun kini ia telah mula ditutup oleh  tumbuh-tumbuhan. 

Guru Fengshui tempatan melihat ia adalah seekor naga yang telah ditanam di dalam tanah dan ia tidak dapat melepas diri. Dalam dialek Hakka , namanya adalah "Vut Leung", bermakna naga yang ditawan.


Bagi masyarakat Melayu, Asal Kampung Beliong adalah dari sejenis kapak khas yang digunakan untuk membina bot atau sampan. Hujung bercabang dipasang daripada tiang kayu dan boleh digunakan sebagai cangkul atau kapak . 

Beliong adalah dari sejenis kapak khas

Menurut cerita orang tua yang berasal dari Kampung Beliong, pada zaman dahulu, kampung ini telah dihuni oleh orang-orang dari Brunei yang menggunakan kapak beliong untuk membuat perahu. Pada suatu hari, Kapak atau Beliong salah seorang daripada mereka telah terjatuh ke dalam sungai. 

Untuk mengingati lokasi di mana kapaknya terjatuh , dia telah membuat satu tanda di sisi perahunya di mana beliongnya telah terjatuh. Kemudian dia terus mendayung ke Kampung Tambirat yang hanya berada di seberang di mana tempat di tinggal.

Ketika air sungai mula kelihatan cetek, dia pun mula mencari beliongnya. Tiba-tiba , dia mula sedar yang lokasi itu bukan tempat beliongnya terjatuh dan mula mengingati di mana tempat beliongnya sebenar terjatuh. Dia pun berteriak samabil menunjuk ke arah aliran yang bertentangan dengan kampung Tambirat " di sana, beliong! "




Insiden itu menjadi perbualan setiap orang tentang sehingga wujudnya nama Kampung Beliong. Menurut penduduk asal dari Kampung ini, keluarganya telah mendiami kampung ini semenjak tahun 1840-an lagi. Katanya lagi, datuknya berasal dari Brunei. Namanya ialah Tengku Putih, dan bapanya Gafar Tengku Putih.

Friday, January 30, 2015

Tun Rahman ubah mindset dakwah


“BAPAK, nama datuk ialah Wan Ya’kub. Kenapa gelaran ‘Wan’ yang ada pada nama datuk tidak ada dan bukankah nama bapak sepatutnya Wan Abdul Rahman?” Soalan ini saya ajukan ketika umur saya awal 20-an.

Ayah saya memandang tepat ke mata dan berkata, “Wan bukan sebarang gelaran tetapi ia adalah gelaran untuk keluarga kita di Sarawak yang berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Gelaran yang mulia tetapi datuk kamu adalah seorang pengajar al-Quran. Dialah yang memulakan budaya tidak menggunakan gelaran ‘Wan’ lagi kerana datuk kamu mahu generasi yang akan datang faham bahawa amalan kita bergantung kepada usaha diri sendiri dan bukan berdasarkan keturunan. Bapak meneruskan wasiat ini."

Benih dakwah dan sifat zuhud sudah ditanam dan disemai dalam roh ayah saya sejak kecil lagi oleh datuk saya, Wan Ya’kub. Jantung kehidupan dan kemuliaannya adalah al-Quran, bukan keturunan mahupun darjat kebesaran dunia.

Maka, setelah menjadi Ketua Menteri Sarawak, ayah saya menggunakan pengaruh dan kuasa politik yang ALLAH SWT berikan untuk menaikkan taraf para pembela al-Quran.

Zaman 60-an di Sarawak menunjukkan graduan-graduan agama dari universiti Islam seperti Universiti al-Azhar dianggap sebagai kelas kedua atau no class! Gaji dan status mereka berbeza dengan graduan-graduan dari universiti Barat. Pejabat Agama tiada rupa pejabat.

Hanya dua bilik kecil sahaja dan sebuah tandas, warisan kolonialis Barat. Tun Rahman berjaya menaikkan status graduan Universiti al-Azhar sehingga sama tarafnya dengan graduan Universiti Oxford. Pejabat Agama pula akhirnya mempunyai bangunannya sendiri.

Bahasa Malaysia juga dianggap sebagai second class. Penggunaannya, hanya sekadar untuk berbahasa jiwang-jiwang dan bukan bahasa pentadbiran negara apatah lagi bahasa ilmu.

Setelah Tunku melantik ayah saya menjadi Menteri Pelajaran, bahasa Malaysia menjadi bahasa wajib lulus di semua sekolah. Surat-surat rasmi untuk pihak kerajaan yang tidak ditulis dalam bahasa Malaysia hendaklah dimasukkan ke bakul sampah! Tun Rahman juga mengasaskan UKM di mana bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar kepada semua ilmu.

Rakyat Malaysia yang tidak ambil peduli untuk belajar bahasa Kebangsaan sebenarnya dianggap tidak cintakan negara.

Komunikasi lisan adalah sebahagian aspek yang penting dalam dakwah, bermula dengan taaruf (saling kenal-mengenal). Kalau rakyat tidak bersatu hati dalam satu bahasa, bagaimana mungkin bertaaruf antara satu sama lain? Sedangkan dialek-dialek al-Quran yang lain dibakar pada zaman Khalifah Uthman Ibn Affan sehingga dialek Quraysh sahaja yang tinggal demi untuk menyatukan umat! Bukankah perjuangan penyatuan atas satu bahasa dalam satu negara itu juga dakwah?

Dakwah bukan sekadar mengislamkan tetapi juga mengajak manusia ke jalan ALLAH SWT. Ajakan kepada keharmonian antara rakyat berbilang bangsa juga adalah ajakan ke jalan ALLAH SWT.

Maka, Tun Rahman bukan sekadar pejuang bahasa Malaysia tetapi beliau mampu berbahasa Iban dan Cina. Bahkan, ayah saya berkahwin dengan ibu saya, seorang Cina!

Bila bersama dengan ayah saya, beliau membuat saya berasa seperti saya bersama dengan seorang pejuang bahasa Malaysia yang tegas tetapi pada masa yang sama, cara beliau membuat saya berasa bahawa beliau memuliakan bahasa-bahasa yang lain.

Ayah saya begitu fasih berbahasa Inggeris sehingga tokoh-tokoh Barat seperti Martin Lings, Gai Eaton, Yusuf Islam, Muhammad Asad, Dr. Zaki Badawi menziarahi beliau untuk berbincang perkara-perkara ilmiah dan perihal dakwah tahap yang tinggi.

Muhammad Asad, seorang bekas Yahudi intelektual yang telah memeluk Islam pernah menyebut inspirasi Tun Rahman kepadanya dalam sebuah buku penulisannya tentang politik Islam.

Kadang-kadang saya terfikir bagaimana seorang anak nelayan seperti ayah saya mampu berkarisma internasional dan pada masa sama begitu tegas memperjuangkan isu yang kononnya lokal iaitu bahasa, agama Islam, mahir tajwid, taranum dan sering menyampaikan khutbah Jumaat ketika menjadi Ketua Menteri? Bila di Sarawak, ayah saya akan membincangkan perihal ilmiah di Surau Sri
Bahagia seperti isu hukum-hakam agama yang mungkin kita anggap remeh seperti hukum talkin pada si mati.

Terlalu banyak strategi dakwah yang telah diusahakan oleh beliau seperti mengasaskan Petronas, Yayasan Sarawak, Bina (Hikmah), Maahad Tahfiz dan lain-lain. Semua dibuat untuk melahirkan khairu ummah, iaitu umat yang mampu berdiri atas kaki sendiri, bukan bergantung pada keturunan.

Saya akan menulis strategi-strategi ini secara berperingkat di Sinar Harian. Bagi ayah, Petronas bukan sekadar sebuah syarikat minyak tetapi umat Islam patut berdikari dan berdiri atas kaki sendiri dengan menggunakan sumber-sumber yang ALLAH SWT telah kurniakan.

Dakwah kepada sektor korporat atau elit lebih condong melihat kepada sejauh mana kemampuan umat dalam sektor ekonomi.

Yayasan Sarawak ditubuhkan kerana wawasan ilmu perlu dibangunkan di kalangan rakyat Sarawak. Ramai rakyat Sarawak dihantar untuk belajar ke luar negara untuk membuka mata mereka tentang keluasan bumi ALLAH SWT.

Bina atau sekarang dikenali sebagai Hikmah ditubuhkan untuk menjaga maslahat rakyat umum tanpa mengambil kira jenis agama. Klinik bergerak Bina diamanahkan untuk bergerak dari satu kampung ke satu kampung. Islam agama kesejahteraan.

Hasilnya banyak kampung berjaya diislamkan keseluruhannya. Untuk kesinambungan tarbiah Islam, masjid dibina dan ustaz-ustaz dihantar ke kampung yang baru diislamkan. Pegawai-pegawai dan pengarah-pengarah jabatan kerajaan dihantar setiap minggu untuk ditarbiahkan juga setiap malam Jumaat kerana mereka memegang amanah rakyat.

Ketokohan Tun Rahman yang paling menyentuh hati adalah terletak pada peribadinya. Sahabatnya, Hamka pernah menulis bahawa empat ekor lembu yang sama beratnya dan sama warnanya adalah sama harganya. Akan tetapi empat orang manusia yang sama beratnya dan sama bangsanya tidak sama harganya kerana harga manusia terletak pada peribadinya.

Ustaz Fathi, bekas Setiausaha Kehormat Bina, masih ingat bagaimana Tun Rahman sentiasa memimpin tangannya sampai ke kereta setelah menjemputnya untuk mengajar di Surau Sri Bahagia.

Haji Ayub, bekas paderi yang disyahadahkan oleh Tun Rahman pernah memuji jiwa rakyat Tun Rahman yang sanggup memberhentikan kereta apabila nampak beliau dan keluar dari kereta untuk mempelawa beliau yang sedang berjalan kaki untuk menumpang kereta VIP beliau semasa Tun masih Ketua Menteri.

Peribadinya yang paling menonjol adalah tidak menyimpan dendam. Tiada musuh politik dalam dakwah. Ayah tetap melawat mereka yang kononnya ‘musuh politik’ semasa mereka sakit di hospital.

Pada ulang tahunnya yang ke-80, Tun Rahman dan anak saudaranya, Taib Mahmud saling bermaaf-maafan. Hasilnya, Maahad Tahfiz Tun Rahman ditubuhkan dan menjadi lambang harmoni, dakwah serta peribadi yang agung.

Dakwah adalah lisanul hal. Bukan hanya pandai bercakap di pentas.

Dengan peribadi inilah, Tun Rahman mencatat sejarah apabila berjaya mengadakan perjanjian damai antara kerajaan dan komunis Sarawak tanpa pertumpahan darah. “Bagaimana Bapak dapat berbaik dengan Ketua Komunis Sarawak, Bong Kee Chok?” Saya bertanya.

“Bapak ajak beliau makan dulu sebelum berbincang!” Bapak tersenyum. Beliau memang pemurah dengan senyuman.

“Selepas kenyang makan, bapak tanya adakah rakyat yang sokong komunis itu cukup makan? Kalau tak cukup, bapak sediakan peluang pekerjaan yang cukup dan bagi tanah yang cukup supaya semua cukup makan!”

Bong Kee Chok kini menjadi usahawan yang sangat berjaya dan rakyat tidak lagi menyokong komunis kerana sudah diberi tanah untuk menyara keluarga.

Hidup Tun adalah dakwah dan wafatnya juga adalah dakwah. Ayah saya telah berwasiat agar tidak ditalkinkan jenazah beliau. Sebaliknya hanya diberi tazkirah tentang makna kehidupan dan kematian pada hari pengebumiannya. Saya teringat pesanan ayah, “Talkin maknanya mengajar. Ajarlah yang hidup, bukan yang mati. Belajarlah al-Quran semasa masih bernyawa, jangan tunggu setelah mati baru minta imam ajarkan!”

Hampir sebulan sebelum ayah saya meninggal, tiba-tiba ayah melambaikan tangan memanggil saya. Penyakit Alzheimernya sudah sampai tahap kritikal dan ditempatkan di ICU Pusat Perubatan Normah. Ayah sudah tidak ingat lagi.

Saya memegang tangannya yang hanya tinggal tulang dan dibaluti kulit. Beliau memandang tepat pada mata saya, dan saya terkejut sangat kerana ayah membaca seluruh Surah al-Fatihah walaupun dalam keadaan lemah tidak bermaya.

Adakah ALLAH SWT mengizinkan ayah saya untuk mengingat kembali Surah al-Fatihah pada saat kritikal ini sebagai nasihat yang terakhir kepada saya dan umat? Peristiwa ini merupakan kali terakhir ayah saya “bercakap” dengan saya.

“Siapakah seorang Muslim sejati?” ayah bertanya untuk mencabar saya berfikir secara kritis semasa saya baru bersungguh-sungguh belajar Islam pada umur 21 tahun. Saya terus menjawab dengan kiasu, “Muslim yang sejati adalah yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam!”

Beliau senyum sinis dan berkata, “Muslim yang sejati berpegang pada ini: INNA SOLAATI WA NUSUKI WA MAHYAAYA WA MAMAATI LILLAAHI ROBBIL ‘AALAMIIN

“Bapak, apa maknanya? Saya belum belajar bahasa Arab.” Ayah menjawab, “Carilah sendiri! Jangan berhenti belajar.” Doakan yang terbaik untuk Tun.

* Abdul Naser Tun Abdul Rahman, tokoh pendakwah Perak (Anak Tun Abdul Rahman Yaakub)

Syurga Ikan di Kampung Jemukan

Aktiviti menangkap ikan antara punca pendapatan utama di kampung ini
Kampung Jemukan mula di terokai sekitar awal tahun 1920 oleh Tuan Haji Kahar. Menurut cerita orang tua, ada di antara penghuni terawal yang bermastautin di sini kerana melarikan diri dari ancaman lanun di kampung asal mereka.

Semasa melarikan diri menggunakan perahu, mereka menyusuri persisiran pantai dan telah singgah di sini. Setelah meninjau keadaan sekeliling, mereka merasakan kawasan ini amat sesuai untuk di diami dan terus membina penempatan yang berhampiran dengan Laut Cina Selatan.

Ada yang menyatakan nama “Jemukan” berasal dari perkataan “ Jemu makan ikan”. Kononnya pada masa dahulu, kawasan ini  merupakan Syurga untuk penggemar ikan. Disebabkan jumlah ikan yang terlampau banyak, penduduk kampung merasa jemu kerana asyik makan berlaukkan ikan. Akhirnya kampung ini diberi nama Jemukan.

 Kebun kelapa dan Nanas di kampung Jemukan-gambar sekitar tahun 90-an


Thursday, January 29, 2015

Cara untuk menyemak ketulinan telefon bimbit (handphone) anda. Ori atau tidak ya?

Dail *#06# - untuk dapatkan nombor EMEI atau
Sila lihat di belakang (biasanya cabut bateri utk lihat EMEI)

layari : http://www.imei.info/

Masukkan nombor EMEI seperti di bawah.


Semasa anda memasukkan nombor EMEI, jika nombor tersebut tidak wujud secara automatiknya perkataan "Invalid IMEI akan sentiasa kelihatan seperti di bawah.


Namun jika nombor EMEI yang anda masuk adalah betul, perkataan "Invalid IMEI" tadi akan hilang.


Seterusnya dengan senang hatinya, sila klik butang "CHECK". dan hasilnya adalah seperti di bawah. Selamat menyemak ye ...


Wednesday, January 28, 2015

Asal usul nama Sadong Jaya




Sebelum diberi nama Sadong Jaya, pada asalnya penempatan ini dikenali sebagai Pendam. Pendam di dalam dialek orang tempatan bermaksud kubur. Bunyi agak seram kan?



Pada mulanya kawasan ini telah diterokai oleh beberapa orang penduduk dari Sebangan. Selain dari berkebun, penerokaan ini juga  bertujuan untuk membuka penempatan baru untuk penduduk Sebangan. 



Dari mana pula tempat ini mendapat nama? Begini kisahnya. Terdapat seekor ular besar yang telah di bunuh kerana sering mengganggu tanaman penduduk Iban pada waktu itu. Setelah ular tersbut mati dibunuh, mereka pun memakan daging ular tersebut. Akibat memakan daging ular tersebut, ramai antara mereka telah meninggal dunia.


Menurut cerita masyarakat, hanya seorang wanita yang sarat mengandung yang tidak makan daging ular tersebut dan menceritakan semula kisah ini.

Disebabkan ramai yang meninggal dunia dan dikuburkan di tempat ini, maka tempat ini di namakan Pendam.

Semua ini hanya tinggal kenangan dan kini nama Pendam telah di tukar ke Sadong Jaya. Nama “Sadong” dipilih kerana kawasan ini berhampiran dengan Batang Sadong. Manakala perkataan “Jaya” secara amnya di ambik dari perkataan "Berjaya".

Sadong Jaya telah diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Asajaya bermula pada 1 Januari 2003.

Tuesday, January 27, 2015

Sejarah awal Kampung Niup

Sejarah awal KampungNiup dipercayai bermula dari sebuah penempatan kecil yang dikenali sebagai Kampung Nangka. Dari mana nama kpg Nangka dapat nama? Itu cerita lain. Di sebabkan aktiviti penerokaan tanah untuk bercucuk tanam, sebahagian penduduk berhijrah ke kawasan baru di sebelah hulu yang belum di beri nama.
Sepanjang mereka berkayuh menggunakan sampan, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, nyaman sungguh rasanya. Memandangkan penempatan baru tersebut masih belum ada nama, dinamakan tempat tersebut sebagai “Niup” bersempena angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa ketika mereka menaiki perahu.


Monday, January 26, 2015

Komplek Kolam Renang Samarahan



Komplek Kolam Renang Samarahan antara lokasi menarik sekitar Kota Samarahan untuk berekreasi. Bayaran masuknya cuma RM1 untuk dewasa, Kanak-kanak RM0.50 dan percuma untuk bawah 3 tahun. Ia adalah antara kadar yang terendah jika berbanding dengan Komplek Kolam Renang yang lain.

Terletak lebih kurang 40 km dari Bandaraya Kuching dan masa perjalanan sekitar cuma 20 minit jika tiada kesesakan lalulintas.

Bagi yang bercadang hendak membawa keluarga di sini boleh aturkan masa anda kerana Komplek ini di buka setiap hari kecuali cuti umum dan jika ada tempahan.

Di buka 
Isnin - Khamis 
10.00 pagi - 12.00 tengahari 
02.00 petang - 05.00 ptg

Jumaat
10.00 pagi - 11.00 pagi
02.30 petang - 05.00 petang

Sabtu & Ahad
08.00 pagi - 06.00 petang






Sunday, January 25, 2015

Banjir tetap tinggalkan kesan kepada penduduk Kampung Hulu, Serian



SERIAN: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, begitulah situasi yang dihadapi penduduk di Kampung Hulu dekat sini yang menjadi mangsa banjir seminggu lepas.

Meskipun tidak berdepan dengan kehilangan yang besar seperti rumah dihanyutkan namun banjir yang melanda sebahagian besar penduduk di kampung berkenaan tetap meninggalkan kesan kepada mereka.

Tinjauan Utusan Borneo ke kampung itu semalam, mendapati kesemua penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan termasuk yang tinggal bersama saudara telah kembali ke kediaman masing-masing.

Antaranya penduduk yang sempat ditemui semalam ialah keluarga Suut Zaini yang merupakan seorang pesara kerajaan dan telah menetap di kampung itu sejak tahun 1980-an lagi.

Ketika ditemui, Suut bersama ahli keluarganya kelihatan sibuk mencuci pekarangan kediamannya yang dikotori lumpur akibat banjir.

Menantunya, Mohd Saiful Amri Abdullah bersama anak-anak dan isterinya turut membantu Suut membersihkan halaman rumah dari seawal jam 6 pagi lagi.

“Air mulai surut malam semalam dan seawal jam 6 pagi tadi kami sudah mula membersihkan lumpur-lumpur serta sampah-sampah yang dibawa arus di sekitar halaman rumah ini.

“Selesai kerja-kerja pembersihan ini nanti, baharulah kami akan memikirkan bentuk bantuan yang wajar dipinta oleh bapa mentua saya bagi meringankan beban mereka berdua,” katanya.

Ditanya situasi ketika banjir, Saiful berkata ketika air mulai pasang hanya bapa mentua dan ibu mentuanya berada di rumah.

Bagaimanapun katanya, atas faktor kesihatan kedua-dua mentuanya tidak berpindah ke pusat pemindahan sebaliknya dibawa tinggal bersama mereka.

Sepanjang ketiadaan mereka di rumah, Saiful bersyukur kerana tiada kejadian seperti mencuri berlaku seperti yang dilaporkan di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia
.
“Meskipun bapa dan mak mentua saya tidak berpindah ke pusat pemindahan namun bantuan tetap diberikan kepada mereka.

“Malah pihak bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sentiasa menjalankan pemantauan di sekitar kawasan yang terjejas ini,” katanya.

Friday, January 23, 2015

Keluarga mangsa banjir akan terima bantuan RM500

AHMAD MASLAN (depan) meninjau bilik operasi banjir
 negeri di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak, semalam.
Kuching : Setiap keluarga mangsa banjir di Sarawak akan menerima bantuan RM500 dalam waktu terdekat ini.

Timbalan Menteri Kewanganan Datuk Ahmad Maslan berkata pemberian bantuan itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengumumkan penstrukturan semula Bajet 2015 pada Selasa lepas.

Bagaimanapun ujarnya, mangsa yang berdaftar di pusat pemindahan banjir sahaja yang layak menerima bantuan khas tersebut.

“Saya mahu menyampaikan bahawa apa yang diumumkan Perdana Menteri di Putrajaya dua hari lepas mengenai perkara yang melibatkan banjir itu, juga terpakai di Sarawak.“Bantuan RM500 untuk setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan banjir.“Mengikut rekod di Sarawak ada 1,961 keluarga (setakat jam 10 pagi semalam)… kita akan berusaha memastikan bantuan ini diberikan selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau mendengar taklimat mengenai banjir di Sarawak yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Selain menghadiri taklimat mengenai banjir di Sarawak Ahmad turut mengadakan lawatan ke beberapa pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Masyarakat Tupong Tengah dan pusat pemindahan mangsa banjir di Kampung Endap, Kota Samarahan.

Menurut Ahmad, antara pengumuman Perdana Menteri ialah RM500 juta untuk urusan pemulihan dan kebajikan mangsa banjir, RM800 juta bagi membaiki dan membina semula infrastruktur asas yang rosak seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan.

Selain itu katanya, RM893 juta untuk membiayai projek tebatan banjir di seluruh negara dan RM100 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) serta RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang turut merangkumi Sarawak.“Bank Negara menubuhkan ‘Special Relief Facility’ berjumlah RM500 juta untuk SME (perusahaan kecil dan sederhana) yang terlibat dengan banjir dengan hanya 2.25 peratus sahaja kadar faedah.“Selain itu mangsa banjir yang melakukan pinjaman dengan institusi kewangan seperti BSN, Angrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan ditangguh tempoh bayaran balik pinjaman mereka sehingga enam bulan,” jelasnya.

Tambahnya Bank Rakyat, antara institusi kewangan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50,000 pada kadar faedah serendah 3.9 peratus dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.

Bukan itu sahaja katanya, sejumlah RM500 juta akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir yang akan diurus oleh ProKhas.

“Apa yang disebut Perdana Menteri itu adalah peruntukan awal iaitu peruntukan untuk membaiki dan membina semula infrastruktur yang rosak (RM800 juta) begitu juga RM500 juta (pemulihan dan kebajikan).

“Bererti Kementerian Kewangan dengan keadaan kerajaan mengubah suai perbelanjaan 2015 bersedia menghadapi keadaan banjir ini,” ujarnya.

Sementara itu Jabu berkata bantuan-bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di Sarawak menunjukkan keperihatinan kerajaan pusat dengan nasib menimpa rakyat negeri ini.

“Ia bukan sahaja menunjukkan keprihatinan Kuala Lumpur terhadap nasib menimpa Sarawak, juga rakyatnya tetapi membuktikkan wujudnya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat menghadapi banjir.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Sarawak saya mahu mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan pusat,” katanya.

Penduduk Kpg Endap lega banjir surut



KOTA SAMARAHAN: Selepas dua hari dinaiki air sedalam kira-kira tiga meter, penduduk Kampung Endap di sini, menarik nafas lega selepas air banjir surut sejak awal pagi semalam.


Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Endap Saberi Muhammad, keadaan semalam bertambah baik berbanding dua hari lepas yang menyaksikan penduduk kampung itu terputus hubungan dengan dunia luar kerana jalan ke kampung berkenaan dinaiki air sedalam 2.5 hingga tiga meter.

“Hari ini keadaan lebih baik berbanding dua hari lepas dengan keadaan paras air setakat ini (2 petang semalam) hanya sekitar satu meter.

Dua hari lepas lebih-lebih lagi Isnin, kami semua terperangkap tidak dapat keluar kerana jalan terputus sama sekali.
“Tiada kenderaan dapat lalu melainkan menggunakan bot tetapi hari ini, dengan izin Tuhan semuanya semakin baik dengan paras air setakat ini sudah turun dan jalan dapat dilalui semua jenis kenderaan,” katanya sambil menambah banjir kali ini adalah yang terburuk dialami kampung itu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tambah Saberi lagi, rata-rata penduduk kampung tidak menjangka banjir kali ini lebih teruk kerana sebelum ini keadaan masih terkawal dan disebabkan itu mereka tidak bersedia untuk menghadapi bencana itu.

“Air naik dengan begitu cepat sekali. Semua kami tidak menjangka banjir besar berlaku.

“Kami langsung tidak membuat sebarang pesiapan. Namun syukurlah tiada kehilangan nyawa berlaku. Saya amat berharap keadaan akan pulih sepenuhnya dalam waktu terdekat ini,” jelasnya.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Samarahan Ahmad Shahfikri Darus berkata walaupun paras air sudah surut pihaknya tetap bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan malah menempatkan tiga bot dan 26 anggota di situ sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami belum mengeluarkan arahan menarik balik logistik dan anggota, khuatir air akan naik semula kerana amaran air pasang besar adalah hingga esok (hari ini),” katanya sambil memberitahu hampir 80 peratus daripada penduduk kampung itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Endap.

Sehingga jam 2 petang semalam, seramai 335 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan itu berbanding 428 sebelum ini kerana beberapa keluarga mengambil keputusan pulang ke rumah masing-masing ekoran paras air sudah surut.

Wednesday, January 21, 2015

SK St Martin, sekolah di dalam sekolah

Walaupun sekolah ini terletak di pinggir jalanraya di Kota Samarahan, mungkin ramai antara kita tidak mengetahui tentang kewujudan sekolah ini dan di mana ia terletak. Sebab utamanya kerana ia adalah sebuah sekolah di dalam sekolah. 

Pelik bukan? Hakikatnya, sejarah sekolah ini telah bermula seawal tahun 60-an lagi. Apabila ia telah di bina oleh seorang Paderi pada tahun 1963 namun di lokasi yang berbeza. Walaubagaimanapun pada tahun 2006 ia telah di roboh atas tuntutan oleh pemilik tanah.

Pada waktu ini, Sekolah Kebangsaan St. Martin atau nama ringkasnya SK St Martin menumpang di SK Jalan Muara Tuang, Jalan Dato Mohd Musa, Kota Samarahan. 

Tahun demi tahun, keadaan ini telah memberi tekanan kepada guru-guru dan anak murid kerana  berikutan keadaan dua buah sekolah terbabit semakin padat dengan pertambahan murid.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan P.Panchanathan ketika lawatan kerja ke Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan pada julai tahun lepas, tapak untuk pembinaan sekolah ini telah di kenalpasti iaitu di kampung Merdang dan pembinaannya akan dipercepatkan.

Diharap berita gembira ini dapat dilaksana dengan secepat mungkin demi untuk memudahkan urusan persekolahan penduduk setempat.

Apa-apa pun semoga Sk St Martin dapat mencapai visinya pada tahun ini iaitu, "Menjadi Sekolah Perkasa Menjelang 2015".


Hajjah Rohani Karim Ke Kampung Pinang

Lawatan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Hajjah Rohani Karim di Pusat Pemindahan Kampung Pinang, Kota Samarahan.



Empat kampung di Kota Samarahan terputus hubungan

Kota Samarahan : Empat kampung di daerah Kota Samarahan terputus hubungan sejak malam kelmarin disebabkan hujan lebat yang turun berterusan sejak empat hari lalu.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Operasi Banjir Pejabat Residen Bahagian Samarahan setakat jam 4 petang semalam, kampung yang terjejas itu ialah Kampung Endap, Kampung Entingan, Kampung Nangka dan Kampung Tanah Putih.

Kampung-kampung berkenaan terputus hubungan selepas jalan raya yang menghubungkan keempat-empat kampung berkenaan ditenggelami air.

Ketua Kaum Kampung Entingan David Jiku berkata, seramai 105 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Entingan sekitar jam 6 petang kelmarin.

“Kesemua penduduk yang terjejas dari kawasan yang rendah berdekatan dengan Sungai Entingan melibatkan 23 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 105 orang.

“40 daripada jumlah itu adalah lelaki, 34 perempuan, 10 kanak-kanak lelaki, 16 kanak-kanak perempuan dan seorang bayi berusia satu bulan sembilan hari telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Entingan yang dibuka sejak kelmarin,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut seorang mangsa di situ, Cristina Joshua, 45, dia dan suaminya, Radin Sirit, 54, menyedari air mula naik sekitar jam 10 malam kelmarin hingga ke paras pinggang.
“Kami sempat mengalih barangan ke tingkat atas sebelum berpindah ke pusat pemindahan pada malam itu juga,” katanya.

Namun, beliau memberitahu terdapat juga barangan seperti kabinet dapur, almari dan kerusi tidak dapat dipindahkan ke tingkat atas rumahnya kerana ketiadaan ruang.

“Kami berharap keadaan banjir ini tidak berlarutan, setiap masa saya dan suami akan pergi ke rumah untuk memeriksa keadaan,” tambah Cristina.

Sementara itu, di Kampung Endap pula penduduk kampung terkandas selepas air naik melebihi satu meter sehingga menyebabkan jalan raya di kampung itu ditenggelami air sejak kelmarin.

Disebabkan keadaan itu, penduduk di situ dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Endap melibatkan 105 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 422 orang.

Manakala mangsa di Kampung Nangka pula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Nangka melibatkan 69 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 270 orang.

Satu lagi kampung yang terputus hubungan, Kampung Tanah Putih melibatkan 11 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 87 orang dan kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Tanah Putih.

Selain empat kampung itu, dua lagi kampung terjejas akibat banjir di daerah Kota Samarahan adalah Kampung Sindang dan Kampung Tanjung Bundong Fasa Tiga yang mana 20 keluarga melibatkan 110 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Kota Samarahan.




Ali turun ke padang

Dato' Sri Haji Mohamad Ali bin Mahmud, ADUN Muara Tuang meluangkan masa untuk melawat ke Pusat Pemindahan Banjir Kawasan Samarahan. Di samping itu beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM5000 kepada AJK Kpg Endap pada petang semalam


Tuesday, January 20, 2015

Perkembangan positif di Kpg Endap

Setakat pukul 2 petang tadi, keadaan banjir di Kpg Endap mulai surut. Harap keadaan ini akan berterusan.

Buaya dan ular berjaya di tangkap

Meranek : Sejurus selepas menerima panggilan, anggota JPAM Samarahan terus bergegas ke lokasi iaitu di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Samarahan untuk menangkap seekor buaya, kira-kira pada pukul 10 pagi tadi.

Pada malam sebelum itu, seekor ular sepanjang 8 kaki telah berjaya di tangkap setelah menerima panggilan dari penduduk Kampung di sini.

Reptilia ini akan diserah kepada Jabatan Perhililitan untuk tindakan lanjut


Monday, January 19, 2015

Kampung Nangka antara lokasi yg terjejas

Kampung Nangka antara lokasi di Samarahan yg terjejas akibat banjir. Setakat 12 tengah malam tadi, seramai 350 org daripada 87 keluarga telah di tempatkan di Dewan Kampung Nangka.