Wednesday, April 24, 2024

“Ibumu Wirawati Kebanggaan TLDM” – Ramai Sebak, Mendiang Joanna Felicia Tinggalkan Dua Anak Kecil

 



AKAUN Facebook Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna yang terkorban dalam nahas helikopter pada pagi Selasa dihujani dengan ucapan takziah daripada netizen.

Semakan min mendapati anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu kali terakhir berkongsi foto di Facebook pada 18 Mac lalu.

Menerusi hantaran berkenaan, Joanna kelihatan tersenyum manis sambil diapit dua anaknya yang masih kecil.

Setakat pukul 6 petang, lebih 300 komen netizen membanjiri hantaran berkenaan yang rata-ratanya simpati akan nasib anak-anak mendiang.

“Berat sekali ujian Tuhan buat Joanna. Kasihan tengok anak-anaknya yang masih kecil.

“Kenangan terakhir seolah-olah memberi hint yang kita tidak sedar.

Foto kenangan Joanna bersama keluarganya.


“Salam takziah. Semoga keluarga tabah menghadapi ujian serta dipermudahkan segala urusan seterusnya.

“Kecil-kecil lagi anak dia. Jangan sedih ya. Berbanggalah mak korang meninggal masa bertugas.

“Kamu pasti bangga satu hari kelak. Ibumu seorang wirawati kebanggaan TLDM.

“Ibu kamu seorang yang hebat. Semoga membesar dengan sihat,” tulis netizen.

Berdasarkan foto yang dikongsi, Joanna mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 individu terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Mendiang merupakan anak kelahiran Kampung Sumpas Tampek, Jalan Batu 11, Serian, Sarawak.