Tuesday, April 10, 2018

Kota Samarahan, dahulunya lokasi jin bertendang


Kota Samarahan pada asal hanya sebuah perkampungan kecil yang dikenali dengan nama Muara Tuang yang terletak di tepi sungai. Nama Muara Tuang diambil dari kedudukan penempatan ini yang terletak di antara dua buah sungai iaitu Sungai Tuang dan Sungai Sabang. Pada ketika itu, penemptan ini hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai.

Sebagai sebuah pekan kecil, ketiadaan infrastruktur jalan yang baik serta penggunaan sungai sebagai laluan utama, menyebabkan Daerah Kecil Muara Tuang berada di dalam keadaan serba kekurangan.

Bermula sebagai sebuah Daerah Kecil di bawah pentadbiran Daerah Kuching, pada tahun 1983, Daerah Kecil Muara Tuang dinaik taraf sebagai Daerah penuh dan telah ditukar nama kepada Kota Samarahan.

Dari segi fizikal (perhubungan jalan darat) misalnya, Kota Samarahan telah mencapai tahap perubahan antara yang terpantas negeri ini. Jika dulu penduduk Kota Samarahan perlu menggunakan bot, perahu atau melalui jalan darat dan laluan sungai untuk ke Bandaraya Kuching dengan masa yang lama kira-kira sehari suntuk, namun dengan adanya jalan baharu, Jalan Datuk Mohd Musa sepanjang kira-kira 25 km menghubungkan Bandaraya Kuching, melalui Kota Sentosa dan Muara Tuang, telah memendekkan jarak perjalanan dari sehari suntuk ke sekitar 20 minit ke 40 minit sahaja.

Sebuah lagi jalan alternatif telah di bina iaitu "Outer Ring Road" atau lebih dikenali sebagai jalan "klinker" di kalangan masyarakat tempatan yang menghubungkan Kota Samarahan dengan Tabuan Jaya. Jalan ini telah memendekkan jarak perjalanan secara mendadak iaitu kepada kira-kira 10.5 km sahaja dari Bandaraya Kuching. Turut dibina jalan menghubungkannya laluan ke Daerah Serian. 

Dengan keluasan 407.08 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 58,800 orang pada tahun 2009 (Sumber : Anggaran Penduduk 2009, Buku Tahunan Perangkaan Sarawak 2009), kini populasi penduduk telah meningkat kepada lebih 200,000 orang. Dengan populasi ini, Majlis Daerah Kota Samarahan telah dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran Kota Samarahan pada 11 November 2016. 

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Siapa sangka, dahulu Kota Samarahan adalah lokasi "JIN Bertendang" dan kini telah menjadi lokasi "Orang "raJIN" Bertandang". Di sinilah pusat rawatan pakar jantung dan di sini juga pusat gedung ilmu seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknlogi MARA (UiTM), Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan (ILPKS) dan Pusat Jantung Sarawak.

Lokasinya yang strategik iaitu hanya 32 km dari Bandaraya Kuching serta peranannya sebagai pusat pentadbiran bahagian Samarahan menjadikan Kota Samarahan telah dilimpahi dengan pelbagai bentuk pembangunan yang paling cepat dalam sejarah negeri Sarawak.


The Smummer Mall Shopping Complex

Pembinaan Jambatan Batang Samarahan sejak 2016 turut merancak ekonomi setempat, di mana jarak antara Kampung Baru dan Kampung Tambey yang hanya dipisah dengan Batang Samarahan akan menjadi lebih dekat dengan siapnya jambatan ini menjelang bulan jun 2018. Di sinilah lokasi tumpuan pada masa akan datang dan jalan alternatif terbaik jika hendak ke Asajaya, Sadong jaya seterusnya ke Simunjan.


Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan pembinaan Sistem Aliran Ringan (LRT) menghubungkan Kuching, Samarahan dan Serian. Berita ini sudah pasti memberi perkhabaran yang sungguh menggembirakan buat warga Samarahan. Sudah pasti peluang pekerjaan lebih banyak akan wujud untuk penduduk setempat di samping meningkatkan taraf ekonomi serta pembangunan Daerah Samarahan pada masa akan datang.

sekadar gambar ilustralisi sahaja

Laluan LRT


1 comment:

  1. Paduhal cdak 'jin bertendang' bertendang di Samarahan tok lepasan Unimas ngan UiTM ka admin??

    ReplyDelete