Wednesday, April 19, 2017

Kerajaan Negeri Samarahan - The Untold History


Samarahan telah wujud sejak abad ke-13 di bawah pemerintahan kesultanan Brunei selama lebih 500 tahun. Penempatan awal negeri Samarahan bermula di sepanjang sungai Sadong. Pada waktu itu, Gedong merupakan sebuah pusat pentadbiran kerajaan negeri Samarahan.

kewujudan kerajaan Samarahan pada ketika itu telah terbukti apabila terdapat penemuan sebuah tugu lama yang dikenali sebagai Batu Datu Merpati di Kampung Mawang Taup yang terletak bawah jajahan Kerajaan negeri Samarahan. Bermula dari situ,penghijarahan masyarakat yang berasal dari kerajaan negeri Santubong ke daerah-daerah lain seperti Gedong, Sadong dan Lidah Tanah mula berkembang.

Batu Datu Merpati
Kesinambungan kisah Datu Merpati Jepang dengan peradaban Kerajaan negeri Santubong dan negeri Samarahan pada waktu itu menguatkan lagi tentang kewujudan negeri Samarahan. Selain dari itu terdapat penemuan tembikar China dari abad ke 14 dan 15 di lembah Sungai Sadong. Turut dijumpai beratus-ratus artifak lain seperti manik, duit syiling dan emas.

Kisah Datu Merpati Jepang bermula apabila kejatuhan kerajaan Srivijaya pada kurun-13, Sarawak telah dikuasai oleh kerajaan Majapahit. Seorang putera Raja Majapahit iaitu Raden Menteri Dipati Jepang atau Datu Merpati Jepang telah berhijrah ke Sarawak pada kurun ke-15. Baginda telah berkahwin dengan Datu Permaisuri anak perempuan Raja Jarom Jawa di Johor sebelum berhijrah ke Sarawak.

Dalam sejarah Kesultanan Brunei pula, Awang Alak Betatar ialah Sultan Brunei yang pertama. Setelah memeluk Islam, baginda dikenali dengan nama Sultan Mohamad Shah. Baginda memerintah Brunei bermula pada tahun 1363. Pada ketika itulah negeri Samarahan dan beberapa negeri lain telah dianugerahkan kepada Kesultanan Brunei. 

Awang Alak Betatar
Jelas terbukti bahawa negeri Samarahan pada awalnya bermula dengan beberapa pusat petempatan awal di sepanjang Sungai Sadong iaitu Lembah Sadong telah berkembang pesat menjadi sebuah negeri yang mempunyai corak pemerintahan tersendiri.

Ketika berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, negeri Samarahan merupakan sebuah jajahan yang penting. Lembah Sadong mempunyai kawasan tanah yang subur dan amat sesuai untuk pertanian khususnya penanaman padi. Manakala Gedong yang terletak berhampiran di pertengahan sungai telah menjadi sebuah pusat pentadbiran. Sesuai dengan namanya yang dikaitkan dengan "gedung", ia dijadikan sebagai pusat pengumpulan hasil dan barangan melalui sungai Sadong. Sebagai sebuah negeri, Samarahan turut menghantar hasil cukai kepada Sultan Brunei pada setiap tahun.

Kelemahan pemerintahan kerajaan Brunei telah menyaksikan perluasan kuasa oleh keluarga Brooke bermula dengan penyerahan Kuala Samarahan pada tahun 1846. Pada tahun 1853, negeri Samarahan telah diserahkan sepenuhnya kepada James Brooke.


Di bawah pemerintahan Rajah Brookes, Kawasan Simunjan dan Serian di gabung membentuk sebuah daerah iaitu daerah Sadong di bawah satu pentadbiran yang berpusat di Simunjan iaitu daerah Sadong pada tahun 1901. Pada tahun 1955, Serian dikeluarkan dari daerah Sadong membentuk daerah baharu dikenali sebagai daerah Serian manakala daerah Sadong telah ditukar kepada nama daerah Simunjan.

Setelah berada dalam pemerintahan Malaysia, Samarahan telah diisytiharkan sebagai sebuah daerah dan sebuah pusat pentadbiran bahagian yang kelapan di negeri Sarawak dengan menggabungkan empat buah daerah iaitu Samarahan, Serian, Simunjan dan Asajaya. Manakala Tebedu dalam daerah Serian dan Sebuyau di bawah daerah Simunjan. Dengan penggabungan ini, keluasan bahagian Samarahan adalah kira-kira 4,967.45 kilometer persegi. 

Pada 11 April 2015, Serian, Tebedu dan daerah kecil Siburan telah diisytiharkan sebagai sebuah Bahagian baharu yang ke-12 iaitu bahagian Serian. Dengan pengisytiharan ini, Bahagian Samarahan merangkupi 3 bahagian sahaja iaitu Kota Samarahan, Asajaya dan Simunjan.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment