BERMULA sebagai pos perkampungan kecil, Kota Samarahan yang sebelum ini dikenali sebagai Muara Tuang kini muncul sebagai bandar moden paling pesat membangun di Sarawak.
Pada awal tahun 70an, sebatang jalan menghubungkan pekan kecil ini dengan bandar Kuching. Sebelum itu, satu-satunya pengangkutan yang digunakan untuk ke Muara Tuang ialah bot barang.
Bahagian Samarahan terdiri daripada Daerah-daerah Samarahan, Serian, Simunjan dan Asajaya. Kota Samarahan, bandar pentadbiran Bahagian ini terletak kira-kira 30 kilometer ke tenggara Pusat Bandar Kuching.
Jalan penghubungn pembangunan
Pembangunan pesat Kota Samarahan bermula apabila jalan sepanjang 25 kilometer menghubungkan bandar itu dengan Kuching siap.
Jelas sekali pemangkin utama pertumbuhan bandar ini ialah rangkaian jalan raya yang menghubungkan pekan serta kampung sekitarnya seperti Asajaya, Sadong Jaya, Tambirat dan Beliong ke Kota Samarahan dan Kuching.
Walikota Kota Samarahan, Datuk Peter Minos dalam wawancara dengan Bernama berkata bandar itu turut digelar sebagai "Kota Ilmu" mempunyai penduduk lebih 170,000.
Bilangan penduduk bandar ini bertambah enam peratus setahun dan ini adalah pertumbuhan penduduk paling tinggi untuk mana-mana bandar di Sarawak.
Pembangunan rapi
Menurut Minos, bagi menampung pertumbuhan penduduk, pembangunan baru yang lebih rapi perancangannya termasuk kawasan komersial serta kediaman sedang rancak dilaksanakan di Samarahan.
"Sektor perumahan jelas berkembang di Bahagian Samarahan terutamanya sejak tempoh lima tahun yang lalu khusus di sepanjang Lebuhraya Kuching Samarahan dan Jalan Datuk Mohamad Musa.
"Dengan 80 taman perumahan yang ada sekarang dan 24 buah lagi akan datang, Kota Samarahan akan terus berkembang dan makmur," kata Minos.
Beliau berkata, Kota Samarahan jelas sekali bandar ilmu memandangkan di kelilingi institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Abdul Razak.
Imei bandar ilmu Kota Samarahan semakin terserlah dengan pembukaan Maktab Perguruan Tun Abdul Razak, Taman Teknologi Sarawak dan Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan serta Sekolah Antarabangsa Dato’ Traoh.
Beliau menambah lebih banyak pejabat kerajaan akan dibuka di bandar itu selain daripada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (Salcra), Intan, Pusat Jantung Sarawak, Mahkamah Adat, Majlis Adat Istiadat dan Felcra.
wisma Salcra |
Perlu hospital
Di sebalik kepesatan pembangunan di Samarahan, ada satu lagi yang menjadi impian Minos iaitu sebuah hospital untuk menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
"Hospital itu boleh juga digunakan pelajar-pelajar perubatan Unimas.
"Saya amat berharap kerajaan persekutuan akan menimbangkan cadangan hospital ini dan memberi kelulusan secepat mungkin," katanya dengan menambah SDC XXX akan bekerjasama dengan wakil rakyat tempatan, Unimas serta pihak berkuasa negeri untuk cadangan hospital itu.
"Kami bertindak bagi pihak penduduk Samarahan. Hospital ini satu kemestian," beliau menekankan.
Menurut Minos, Samarahan juga akan memerlukan sistem pengurusan sisa yang moden dan sesuai bagi mengekalkan persekitaran yang bersih.
"Loji pengurusan sisa mesti menukar sisa menjadi kompos, baja serta pelet plastik yang boleh dijual oleh pengusahanya dengan memperolehi keuntungan. Cara ini akan mengurangkan kos SDC XXX. Kota Samarahan mesti bersih bukan sahaja selamat dan hijau," katanya.
Minos berkata, banyak keluarga di Kota Samarahan dan di luar kawasannya dengan pendapatan bulanan yang digabungkan sebanyak RM4,000 satu keluarga tidak mampu membeli rumah yang berharga dari RM400,000 hingga RM600,000 sebuah.
Memandangkan tanah zon bercampur terlalu mahal untuk rumah mampu milik, Minos mencadangkan sektor swasta membina rumah mampu milik di tanah milik kerajaan negeri.
SDC XXX, katanya, boleh membantu orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah dalam hal ini.
"Kota Samarahan juga perlu dicantikkan menerusi usaha penghijauan serta lanskap kerana kita tidak boleh membiarkan bandar ini menjadi hutan batu.
"Kita juga perlu melakukan sesuatu untuk longkang serta jalan raya untuk mengelakkan banjir kilat. Lagi satu perkara yang perlu ditangani ialah kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak.
"Kesesakan begitu teruk di Kota Samarahan dan kita akan bekerjasama dengan JKR mengenai perkara ini, kemungkinan membuat pertukaran laluan atau membesarkan beberapa jalan yang ada, yang menghala ke Kota Samarahan atau yang keluar daripada bandar ini," tambahnya.
Penghargaan Taib Mahmud
"Saya suka bandar Samarahan dan terhutang budi dengan Ketua Menteri yang melantik saya sebagai walikota. Saya akan melakukan yang terbaik untuk Samarahan. Saya nampak semua pekerja di Majlis Daerah Samarahan bekerja keras, sentiasa tersenyum meskipun mengendalikan kerja yang banyak," kata Minos yang dilantik ke jawatan sekarang kira-kira tiga bulan lalu.
"Kita juga jangan lupa menyatakan terima kasih kepada tokoh yang bertanggungjawab kepada pembinaan Kota Samarahan ini, daripada sebuah kampung kepada bandar moden," katanya, merujuk kepada mantan Ketua Menteri Sarawak dan kini Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Menurut Minos, Taib mempunyai wawasan dengan membawa Unimas, UiTM serta pejabat kerajaan yang lain ke Kota Samarahan dan daripada situ bermula antaranya pembinaan rumah, kedai, gedung membeli-belah.
"Semua ini membuktikan hasil impian seorang tokoh yang menjadi kenyataan serta memberi manfaat kepada masyarakat. Ketua Menteri sekarang Datuk Patinggi Adenan Satem juga mempunyai inisiatif serta idea besar untuk kita semua di Sarawak," katanya. - Bernama