Friday, January 19, 2018

Tasik Desa Ilmu dalam dilema Keselamatan dan Kebersihan

Tasik Desa Ilmu merupakan sebuah kawasan riadah yang popular dan strategik di kalangan penduduk di sekitar Kota Samarahan. Terletak di dalam kawasan perumahan, ia amat sesuai untuk aktiviti riadah seperti berjoging, memancing ikan, menenangkan fikiran bersama keluarga dan aktiviti sihat yang lain.


Jika dahulu, anda boleh beraktiviti dengan tenang di sekitar trek pejalan kaki lebih kurang 1 kilometer mengelilingi tasik. Sudah semestinya ia menjadi lokasi pilihan untuk mereka yang gemar dengan aktiviti berjoging di kalangan golongan muda dan warga emas.

"Eye birds view" Tasik Desa Ilmu
Namun kini, kawasan ini telah dibelenggu oleh masalah kebersihan dan keselamatan akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab. Ia telah dijadikan sebagai kawasan untuk minum minuman keras secara terbuka tidak mengira masa dan waktu. 

Berdasarkan permerhatian dan maklumat orang awam, sehingga jam 5 petang, kumpulan-kumpulan ini masih tidak beredar malah bersikap mementingkan diri sendiri dengan menggunakan hampir separuh trek pejalan kaki untuk lepak sambil minum minuman keras tanpa rasa segan. Ia dilakukan oleh kumpulan yang sama.

Akibat dari perbuatan mereka, banyak serpihan botol kaca yang pecah, tin-tin kosong minuman keras, sisa-sisa dan bekas makanan bertaburan. Keadaan ini menjejaskan pemandangan dan sudah pasti mengundang pelbagai penyakit kepada penduduk setempat serta para pengunjung.

Keadaan bertambah buruk dengan tabiat sekumpulan penunggang motosikal menggunakan trek ini untuk bermain-main serta bersiar-siar di sekitar tasik dengan bunyi bising dan kepulan asap motosikal. Dengan lebar jalan sekitar 4 kaki, sudah pasti trek ini tidak sesuai untuk aktiviti bermotosikal kerana ia mengundang bahaya untung pejalan kaki yang sedang beraktiviti dan mengganggu ketenteraman awam serta pencemaran udara.

Bermain Bot kawalan jauh di Tasik Desa iLmu
Harapan dari penduduk setempat dan para pengungjung agar pihak berkuasa memantau keadaan ini serta mengambil tindakan lanjut sebelum berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

Jagailah kebersihan tasik kita. Kamek sayang Samarahan.



Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment