Wednesday, March 26, 2014

Bangunan Sekolah SK Binyok terabai

KOTA SAMARAHAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Binyok di sini yang kini dimamah usia amat memerlukan perhatian segera daripada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan untuk menaik taraf bangunannya yang usang.
Rintihan itu disuarakan penduduk Kampung Binyok, Kota Samarahan yang mahu melihat anak-anak mereka mendapat kemudahan pendidikan yang selesa, sama seperti sekolah lain.
“Keadaan bangunan sekolah ini sangat usang dan uzur yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada anak-anak yang belajar di sini.
“Kami warga kampung yang menyekolahkan anak-anak kami di sini amat berharap kerajaan memberi perhatian yang sewajarnya untuk menaik taraf bangunan sekolah ini,” kata Penghulu Kampung Binyok Suhai Abang.
Suhai, 64, turut meluahkan rasa sedih dengan keadaan sekolah termasuk kuarters guru yang cukup usang dan uzur pasti menimbulkan rasa tidak selesa kepada anak-anak untuk belajar setiap hari.
“Begitu juga dengan apa yang saya lihat sendiri di kuarters guru, ia semakin rosak akibat dimamah anai-anai… tidak keterlaluan jika saya katakan ia sudah tidak lagi sesuai untuk didiami guru,” tambahnya.


Malah, beliau berkata keadaan bangunan yang uzur itu pastinya mendatangkan suasana yang tidak selamat untuk murid dan guru.
Pada masa sama, Suhai menjelaskan bahawa masalah itu sudah diajukan kepada wakil rakyat di kawasan terbabit namun masih gagal menemui jawapan.
Kampung Binyok yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang mempunyai 567 penduduk, majoritinya masyarakat Melayu.
“Ibu bapa memandang serius perkara berkaitan pendidikan anak-anak mereka, walaupun generasi saya mungkin terlepas untuk mendapat pendidikan, tetapi selaku warga tua kami mahu melihat anak-anak kami berjaya dalam pelajaran.
“Justeru, kami merayu kepada pihak yang berkaitan khasnya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan agar meneliti dan melihat sendiri keadaan SK Binyok yang cukup uzur dan usang serta memerlukan perhatian segera,” jelasnya.
Selain itu, masalah lain yang dialami penduduk di kampung yang masih terdapat 52 rumah, katanya ialah jambatan sepanjang 200 meter menuju ke jeti sudah bergoyang manakala lantainya mulai buruk.
“Jambatan lama yang digunakan penduduk sudah bergoyang dan membahayakan keselamatan penduduk, ia perlu dibina baharu dengan saiz yang lebih besar dengan keluasan enam kaki berbanding empat kaki sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, berita gembira yang telah diterima penduduk di situ adalah pembinaan masjid baharu menggantikan surau lama di kampung itu yang akan dibina di kawasan berhampiran.
“Saya dimaklumkan pembinaan masjid baharu yang lebih luas dan selesa untuk penduduk akan dimulakan tahun ini, lokasi yang sesuai masih lagi dalam perbincangan,” katanya.
Mengenai jalan baharu yang sudah digunakan penduduk sejak penghujung Februari lalu, katanya pembinaan jalan tersebut akan memudahkan perhubungan penduduk dengan tempat lain dengan lebih mudah berbanding menggunakan sungai sebelum ini.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan dengan pembinaan jalan yang akan membuka lembaran baharu kepada penduduk untuk terus meningkatkan taraf hidup, malah kami juga sudah dibekalkan dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik,” katanya.
Sementara itu, Jamil Saufi, 62, yang mempunyai cucu bersekolah dalam tahun enam di SK Binyok berkata, jika keadaan sekolah itu di pandang ringan adalah sukar untuk murid menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran mereka.
“Kita boleh bayangkan keadaan sekolah seperti ini (usang dan uzur) menyebabkan murid tidak dapat belajar dengan selesa, malah di kawasan lain banyak sekolah lama yang telah dibina baharu,” ujarnya.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment