Tuesday, September 2, 2014

Sebuyau Terkenal Pekan Ikan Terubuk


Pemandangan sepanjang dua jam perjalanan dari Kuching ke pekan kecil Sebuyau yang terletak di sempadan Sri Aman dan Simunjan di sini, pasti mengamit kenangan apabila menyaksikan deretan bangunan kedai lama dan perkampungan masyarakat Melayu serta Iban yang berdiri teguh di tepi jalan.
Walaupun keadaannya tidak semoden di bandar, namun prasarana terdapat di pekan ini mencukupi untuk memenuhi keperluan penghuninya yang berjumlah kira-kira 6,000 orang.
Selain Iban, majoriti penduduk yang menetap di Sebuyau adalah Melayu bekerja sebagai petani dan nelayan.
Sebuyau juga terkenal sebagai pekan ikan terubuk kerana ikan yang popular di Bumi Kenyalang itu banyak terdapat di sini terutama sekitar Mac hingga Julai.
Dalam tempoh lima bulan itu, rezeki penduduk akan bertambah kerana mampu menangkap ikan terubuk dalam jumlah yang banyak untuk dijual.
Meskipun sumber pendapatan penduduk banyak bergantung kepada pertanian dan perikanan, ia tidak menghalang kerajaan Sarawak untuk memajukan daerah Sebuyau dengan memper­kenalkan pelbagai projek pembangunan lain.
Antara perancangan kerajaan negeri untuk memajukan daerah ini ialah membangunkan kawasan perkampungan Melayu terdiri daripada Kampung Seberang, Kampung Baru, Kampung Masjid, Kampung Ulu, Kampung Jalan Gomel dan Skim Pembesaran Kampung Seberang untuk dibangunkan sebagai Bandar Baharu Sebuyau.
Rancangan mewujudkan Bandar Baharu Sebuyau merupakan idea Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi yang juga merupakan anak tempatan dari daerah itu.
Pelan pembangunan bagi projek tersebut telah diluluskan oleh Unit Perancangan Negeri pada 2013 dan pembinaan infrastruktur sedang giat dilaksanakan ketika ini.
Pembangunan bandar baharu itu melibatkan pembinaan kawasan kediaman seluas 17.21 hektar, kemudahan awam (18.15 hektar), komersial (5.8 hektar), masjid (7.2 hektar), sekolah (1 hektar) dan dan klinik (4.5 hektar).
Lokasi pembangunan itu didirikan memang strategi kerana terletak di tengah jalinan jalan raya pesisir pantai yang kini menjadi tumpuan laluan kenderaan.
Jika dibandingkan dengan laluan biasa, jalan raya melalui pesisir pantai dapat menjimatkan 50 peratus waktu perjalanan walaupun masih perlu menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai BatangSadong dan Sungai Batang Lupar.
Bagaimanapun, masalah menyeberangi dua sungai tersebut dijangka selesai menjelang Julai 2016 apabila sebuah jambatan bernilai RM200 juta menghubungkan Sadong Jaya dan Sebuyau siap dibina sepenuh­nya.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment