Thursday, October 9, 2014

12 lembu, tiga kambing dikorban dan diagih di Kuching, Kota Samarahan




SERIAN: Sebanyak 12 ekor lembu dan tiga ekor kambing berjaya dikumpul untuk dikorban dan diagihkan di beberapa kawasan terpilih di Kuching dan Kota Samarahan melalui program pelaksanaan ibadah korban anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) pada tahun ini.

Yang Dipertuanya Datu Putit Matzin berkata, program tersebut merupakan acara tahunan sempena Hari Raya Aidiladha bagi individu yang ingin melaksanakan ibadah korban tetapi tidak mampu membeli seekor lembu dengan kaedah membayar RM800 untuk satu syer bagi tujuan itu.

“Kita telah melaksanakan program ini selama 12 tahun bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban yang mana pihak kami menerima pembayaran dan mengumpul nama bagi berkongsi (tujuh orang) untuk membeli seekor lembu atau kambing sekiranya kurang.

“Bagi program ini, kami memberi keutamaan kepada individu yang bukan bermastautin di negeri ini seperti mereka yang berkhidmat dan bertugas di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program pengagihan di Masjid Darul Hafsah, Kampung Lintang Baru, Panchor di sini, semalam.

Tambahnya, MIS turut menggalak masyarakat mengumpul duit secara beransur-ansur seperti yang dilaksanakan oleh kebanyakan masjid pada masa ini melalui penubuhan jawatankuasa khas korban.

“Dengan adanya jawatankuasa ini, penduduk dapat bersama-sama mengumpul duit bagi melaksanakan ibadah korban seperti mengumpul RM100 setiap bulan.

“Dalam masa setahun pastinya duit yang dikumpul dapat membeli sehingga dua hingga tiga ekor lembu untuk dikorbankan,” jelasnya.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Ketua Kampung Deris Bong.

Pada majlis tersebut, seekor lembu telah dikorban dan diagihkan dagingnya kepada penduduk di Kampung Lintang Baru.

Selain itu, Roland turut menyumbang seekor lembu untuk dikorbankan kepada penduduk di kampung tersebut pada Ahad lalu.


Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment