Sunday, January 25, 2015

Banjir tetap tinggalkan kesan kepada penduduk Kampung Hulu, Serian



SERIAN: Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, begitulah situasi yang dihadapi penduduk di Kampung Hulu dekat sini yang menjadi mangsa banjir seminggu lepas.

Meskipun tidak berdepan dengan kehilangan yang besar seperti rumah dihanyutkan namun banjir yang melanda sebahagian besar penduduk di kampung berkenaan tetap meninggalkan kesan kepada mereka.

Tinjauan Utusan Borneo ke kampung itu semalam, mendapati kesemua penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan termasuk yang tinggal bersama saudara telah kembali ke kediaman masing-masing.

Antaranya penduduk yang sempat ditemui semalam ialah keluarga Suut Zaini yang merupakan seorang pesara kerajaan dan telah menetap di kampung itu sejak tahun 1980-an lagi.

Ketika ditemui, Suut bersama ahli keluarganya kelihatan sibuk mencuci pekarangan kediamannya yang dikotori lumpur akibat banjir.

Menantunya, Mohd Saiful Amri Abdullah bersama anak-anak dan isterinya turut membantu Suut membersihkan halaman rumah dari seawal jam 6 pagi lagi.

“Air mulai surut malam semalam dan seawal jam 6 pagi tadi kami sudah mula membersihkan lumpur-lumpur serta sampah-sampah yang dibawa arus di sekitar halaman rumah ini.

“Selesai kerja-kerja pembersihan ini nanti, baharulah kami akan memikirkan bentuk bantuan yang wajar dipinta oleh bapa mentua saya bagi meringankan beban mereka berdua,” katanya.

Ditanya situasi ketika banjir, Saiful berkata ketika air mulai pasang hanya bapa mentua dan ibu mentuanya berada di rumah.

Bagaimanapun katanya, atas faktor kesihatan kedua-dua mentuanya tidak berpindah ke pusat pemindahan sebaliknya dibawa tinggal bersama mereka.

Sepanjang ketiadaan mereka di rumah, Saiful bersyukur kerana tiada kejadian seperti mencuri berlaku seperti yang dilaporkan di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia
.
“Meskipun bapa dan mak mentua saya tidak berpindah ke pusat pemindahan namun bantuan tetap diberikan kepada mereka.

“Malah pihak bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sentiasa menjalankan pemantauan di sekitar kawasan yang terjejas ini,” katanya.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment