Wednesday, January 21, 2015

Empat kampung di Kota Samarahan terputus hubungan

Kota Samarahan : Empat kampung di daerah Kota Samarahan terputus hubungan sejak malam kelmarin disebabkan hujan lebat yang turun berterusan sejak empat hari lalu.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Operasi Banjir Pejabat Residen Bahagian Samarahan setakat jam 4 petang semalam, kampung yang terjejas itu ialah Kampung Endap, Kampung Entingan, Kampung Nangka dan Kampung Tanah Putih.

Kampung-kampung berkenaan terputus hubungan selepas jalan raya yang menghubungkan keempat-empat kampung berkenaan ditenggelami air.

Ketua Kaum Kampung Entingan David Jiku berkata, seramai 105 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Entingan sekitar jam 6 petang kelmarin.

“Kesemua penduduk yang terjejas dari kawasan yang rendah berdekatan dengan Sungai Entingan melibatkan 23 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 105 orang.

“40 daripada jumlah itu adalah lelaki, 34 perempuan, 10 kanak-kanak lelaki, 16 kanak-kanak perempuan dan seorang bayi berusia satu bulan sembilan hari telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Entingan yang dibuka sejak kelmarin,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut seorang mangsa di situ, Cristina Joshua, 45, dia dan suaminya, Radin Sirit, 54, menyedari air mula naik sekitar jam 10 malam kelmarin hingga ke paras pinggang.
“Kami sempat mengalih barangan ke tingkat atas sebelum berpindah ke pusat pemindahan pada malam itu juga,” katanya.

Namun, beliau memberitahu terdapat juga barangan seperti kabinet dapur, almari dan kerusi tidak dapat dipindahkan ke tingkat atas rumahnya kerana ketiadaan ruang.

“Kami berharap keadaan banjir ini tidak berlarutan, setiap masa saya dan suami akan pergi ke rumah untuk memeriksa keadaan,” tambah Cristina.

Sementara itu, di Kampung Endap pula penduduk kampung terkandas selepas air naik melebihi satu meter sehingga menyebabkan jalan raya di kampung itu ditenggelami air sejak kelmarin.

Disebabkan keadaan itu, penduduk di situ dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Endap melibatkan 105 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 422 orang.

Manakala mangsa di Kampung Nangka pula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Nangka melibatkan 69 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 270 orang.

Satu lagi kampung yang terputus hubungan, Kampung Tanah Putih melibatkan 11 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 87 orang dan kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Tanah Putih.

Selain empat kampung itu, dua lagi kampung terjejas akibat banjir di daerah Kota Samarahan adalah Kampung Sindang dan Kampung Tanjung Bundong Fasa Tiga yang mana 20 keluarga melibatkan 110 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Suarah Kota Samarahan.




Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment