Thursday, July 2, 2015

Zuhrah dan Musytari akhirnya bertemu

Bagai pinang dibelah dua, begitulah mungkin yang dapat dikatakan mengenai pasangan dua buah planet terang, Zuhrah dan Musytari, yang kini sedang mendominasi pandangan kita di langit barat, sebaik sahaja azan Maghrib bergema.

Setelah beberapa bulan menanti, ‘pertemuan’ dua planet yang masing-masingnya unik dalam cara tersendiri, sampai ke kemuncak.

Pada petang 30 Jun 2015 lepas, apabila kita pandang ke barat, didapati kedua planet ini ‘terpisah’ pada jarak yang sama dengan diameter bulan.

Malah, jika diluruskan lengan anda di hadapan, dan ‘meletakkan’ hujung jari telunjuk berhampiran dengan kedua planet ini, ia akan kelihatan memenuhi kawasan ‘separuh’ sahaja dari lebar jari anda!



Simulasi di atas menunjukkan betapa rapatnya Zuhrah dan Musytari nanti, hingga boleh dimuatkan dalam hujung jari.

Begitulah dekatnya fenomena yang dipanggil conjunction (atau konjungsi) kali ini.

Bak kata orang, “tak kisahlah senget ke, kelabu ke, gelap ke, gambar tu …asalkan dapat simpan untuk kenang-kenangan pun ok dah” !

Apa itu Conjunction?

Planet bergerak mengikut kelajuan masing-masing di angkasa lepas. Ada yang laju, seperti Zuhrah, dan ada yang bergerak lambat seperti Musytari.

Menerusi pandangan kita dari Bumi, pergerakan planet-planet ini akan sentiasa berubah-ubah dari malam ke malam, apabila kita bandingkannya dengan kedudukan bintang-bintang lain di langit.

Itulah antara cara hendak membezakan planet dengan bintang.

Ada ketikanya, 2 buah objek sistem suria, samada pasangan bulan dengan planet, atau planet dengan planet, akan berada pada satu sudut pandangan yang sama, seolah-olah nampak dekat.

Sebagai contoh cuba lihat ‘simulasi’ di bawah. Andaikata 2 buah objek di bawah ini melambangkan 2 buah planet tersebut. Dari pandangan kita di Bumi, kita akan nampaknya ‘duduk’ sebelah-menyebelah. Macam dekatkan?



Tetapi apabila kita mula lihat dari atas, umpamanya kita  ‘keluar’ dari bumi dan berada di angkasa lepas, kita akan dapati rupanya 2 objek tersebut berada jauh jaraknya antara satu sama lain.



Itulah yang sedang kita lihat antara Zuhrah dan Musytari. Ketika ini, Zuhrah berada hampir dengan kita manakala Musytari nun jauh ke belakang.

Kedudukan sebenar Musytari, Zuhrah dan Bumi pada ketika ini. Simulasi Sky Safari Pro.

Oleh itu, jangan sebar cerita kononnya kedua planet ini akan berlanggar lah, itu lah, ini lah. Kena belajar bab orbit planet dahulu, okay! 😉

Kekerapan

Sejauh mana kerapnya conjunction ini berlaku bergantung kepada kedudukan planet-planet itu sendiri. Tidak ada ‘nombor’ yang tetap, contohnya 10 tahun sekali ke, 40 tahun sekali ke. Ini adalah kerana kelajuan pergerakan planet-planet ini berbeza-beza.

Salah satu cara paling mudah untuk mengira dan kenalpasti tarikh-tarikh mendatang, yang mana fenomena serupa akan berlaku, ialah dengan menggunakan perisian astronomi seperti Stellarium dan seumpamanya.

Buat pengetahuan anda, kali terakhir ia berlaku ialah pada 18 Ogos 2014 lepas, yang mana ia berlaku selepas Subuh, rendah di ufuk timur. Mungkin tak ramai yang perasan fenomena ketika itu, kerana ia berlaku sebelah pagi, waktu ramai yang sedang kalut nak pergi kerja dan sekolah!

Foto ini dirakam oleh penulis pada 19 Ogos 2014 lepas, menunjukkan Zuhrah dan Musytari di ufuk timur. ©shahgazer

Kajian Ilmuwan Islam

Sejarah peradaban Islam telah menunjukkan ilmuwan Islam seperti Ibn Yunus (905-1009) telah pun mengkaji fenomena conjunction ini (selain daripada gerhana). Beliau turut menghasilkan beberapa tulisan ulung dan jadual (Zij) yang merangkumi lebih daripada 100 buah hasil cerapan. Beliau juga telah mengenalpasti dan mengira 40 buah fenomena ini dan 30 fenomena gerhana bulan dengan tepat.

Apa yang akan dapat dilihat nanti?


Pada petang  30 Jun 2015, di arah BARAT. Kita telah melihat 2 butir objek terang di langit. Itulah Zuhrah dan Musytari.

Kedudukan  seperti rajah di bawah, iaitu Musytari di atas manakala Zuhrah di bawah.

30 Jun 2015 ©falakonline.net
Pada petang semalam,  1 Julai 2015, kedua-dua planet ini telah berada sebelah-menyebelah, Zuhrah di kiri, Musytari di kanan (seperti rajah di bawah)

1 Julai 2015 
Hari ini 2 Julai 2015, Musytari pula berada di bawah Zuhrah (seperti rajah di bawah)

2 Julai 2015 
Selepas daripada tarikh-tarikh ini, kedua-dua planet ini mula terpisah semakin jauh. Musytari pula akan semakin rendah ke ufuk dan lama kelamaan hilang dari pandangan. Diikuti juga oleh Zuhrah.

Disebabkan Zuhrah dan Musytari akan berada dalam kawasan langit yang sama besar dengan Bulan, maka sesiapa yang mempunyai teleskop, BOLEH MELIHAT KEDUA-DUANYA SERENTAK dalam satu view pandangan teleskop!

Wow! Kena try ni!

Bila lagi?

Fenomena Conjunction Zuhrah dan Musytari ini sentiasa indah, kerana kedua-dua planet ini amat cerah di langit, dan mudah menarik perhatian sesiapa sahaja yang mencarinya.

Jika anda terlepas peluang untuk melihatnya kali ini, jangan risau, kedua-dua planet ini akan bertemu sekali lagi pada 26 dan 27 Oktober 2015 nanti, pada waktu Subuh pula! Namun, kedudukan keduanya masa itu tidaklah sehampir/sedekat dengan apa yang kita akan lihat 2,3 hari ini.


Oleh itu, jom jangan lepaskan peluang melihat sesuatu yang indah di langit, melihat ayatul manzurah, bukti kekuasaan dan rahmat Allah SWT di bulan yang penuh barakah ini!

Sumber : Falakonline
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment