Sunday, June 28, 2015

Aidilfitri: PERKIM Samarahan hulurkan sumbangan kepada 102 saudara baharu

KOTA SAMARAHAN: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Samarahan menyampaikan sumbangan kepada seramai 102 saudara baharu sempena ketibaan perayaan Hari Raya Aidilfitri, semalam.

Berlangsung di Dewan Suarah di sini, penyerahan sumbangan termasuk duit raya pada Program Penghayatan Ramadan itu disempurnakan oleh Pengerusinya, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu yang juga merupakan isteri Ketua Menteri.

Timbalan Pengerusinya, Rubiah Wang yang merupakan Ahli Parlimen Kota Samarahan turut hadir memeriahkan program tersebut.

“Hari ini (semalam), selain mendekati masyarakat Islam dalam satu penganjuran program, kita juga menghulur sedikit sumbangan kepada golongan saudara baharu kita.

“Selain program ini, kita juga banyak merencana pelbagai aktiviti penyampaian sumbangan khusus kepada golongan yang memerlukan, sekali gus berkongsi keriangan dan kemeriahan sambutan perayaan bersama mereka,” jelas Rubiah.

Katanya lagi, program itu juga bertujuan menyasarkan pemupukan nilai dan pemikiran positif dalam kalangan murid dan pelajar sekolah selain membina keyakinan diri dan menggalakkan golongan sasar untuk menjadi golongan yang kreatif menyumbang idea terutama dalam aktiviti berkumpulan.

“Pada tahun ini, kita ada seramai 200 murid dan pelajar sekolah dari pelbagai sekolah di sekitar kawasan Samarahan bersama-sama dengan 100 ahli PERKIM yang melibatkan diri dalam program pada hari ini (semalam),” jelasnya.

Tambah beliau, penganjuran program seumpama itu juga diyakini mampu meningkatkan hubungan silaturahim sesama masyarakat dan membentuk jati diri sempurna serta baik, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Menyentuh mengenai PERKIM Cawangan Samarahan, Rubiah memberitahu, ia mula ditubuh pada 1988 dan telah banyak mengadakan pelbagai aktiviti berunsur tiga aspek merangkumi pendidikan, dakwah dan kebajikan.

Selain itu, PERKIM Cawangan Samarahan juga tidak ketinggalan menganjur aktiviti dan program bagi mendekati saudara baharu, masyarakat dan belia di kawasan sekitarnya.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment