Lakaran Jajaran Transit Aliran Automasi (ART) yang menjadi teras pembangunan Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS). |
Kuching : Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri melaksanakan projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS) bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandar raya ini dan pada masa sama meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan ekonomi.
KUTS, projek inisiatif kerajaan, diwujudkan seiring dengan agenda transformasi digital Kerajaan Sarawak dan insiatif pembangunan Bandar Pintar sebagai penyelesaian kepada keperluan pengangkutan awam yang lebih moden.
Tujuan utama pembangunannya ialah mengurangkan seterusnya mengatasi kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya Kuching dengan meningkatkan kesaling-hubungan menerusi sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan bersepadu.
Sarawak Metro yang diperbadankan pada Februari 2018 akan menjadi aset dan pemilik projek KUTS serta operator dan penyelenggara sistem Transit Aliran Automasi (ART) bagi meminimumkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan bandar sekali gus memacu produktiviti dan pertubuhan ekonomi.
KUTS akan dibangunkan secara berperingkat dengan kerja-kerja struktur dan sivil dijangka bermula pada 2022 dan kerja-kerja membangunkan sistem projek dijadual bermula pada 2024.
Fasa pertama projek ini akan melibatkan pembinaan dua jajaran laluan bandar meliputi jarak sepanjang kira-kira 50 kilometer (km).
Jajaran Laluan 1 (Garisan Biru) akan bermula dari Rembus, Kota Samarahan ke Hikmah Exchange, sepanjang 27km dan akan berhenti di 14 stesen, manakala Jajaran Laluan 2 (Garisan Merah) dari Batu 12 Jalan Kuching-Serian ke The Ithmus, sejauh 23.4km dengan 13 stesen perhentian.
Rata-rata bahagian dua jajaran laluan ART ini akan dibina pada paras yang sama dengan jalan raya sedia ada, manakala beberapa laluan bertingkat akan dibina di kawasan yang sangat padat, lazimnya di pusat bandar.
Perkhidmatan penumpang iaitu bas hidrogen akan disediakan di setiap permulaan dan penghujung perjalanan untuk ke stesen KUTS seterusnya.
ART yang merupakan teras projek KUTS adalah lebih berbaloi dibangunkan oleh kerajaan negeri berbanding Transit Aliran Ringan (LRT) kerana keberkesanannya dari segi kos.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini pernah berkata, kos membangunkan ART satu pertiga lebih murah berbanding LRT kerana ia tidak bergerak di atas landasan kereta api.
“Anda tidak perlu membina landasan kereta api tetapi hanya perlu menyediakan laluan khas untuk ART seperti melebarkan jalan raya sedia ada,” katanya.
Kenderaan ART merupakan persilangan hibrid antara bas, kereta api dan trem, berjalan di laluan khas dan bukannya di atas laluan keluli seperti LRT.
Ia menggunakan tayar getah dan boleh bergerak di atas permukaan jalan biasa. Ciri-ciri ini mengurangkan kos dan masa pembinaan dengan ketara.
Ia juga dilengkapi pengimbas optik dan navigasi pintar bagi meningkatkan pengendalian mudah dan ketepatan serta sistem komunikasi boleh dipercayai.
Bagi KUTS, sistem ART yang dibangunkan mempunyai tiga kenderaan pengangkutan dengan kapasiti maksimum 300 penumpang dan berkelajuan purata 35km/j serta mampu mencapai kelajuan maksimum 70km/j.
Transit Aliran Automasi (ART) |
Kenderaan ART akan digerakkan menggunakan sel bahan bakar hidrogen, seiring dengan hasrat kerajaan negeri mengembangkan ekonomi hidrogen dan merealisasikan Agenda Hidrogen Hijau kerajaan untuk menjadi pengeluar hidrogen hijau penting di wilayah ini.
Pilihan untuk menggunakan hidrogen sebagai sel bahan bakar ART juga mendukung langkah kerajaan dalam menyahkarbonisasi sistem pengangkutan awam di Sarawak.
Apabila ia mula beroperasi kelak, ART Sarawak akan menjadi yang pertama di dunia menggunakan sel bahan api hidrogen.
Abang Johari pada satu sidang media tahun lalu berkata, sistem pengangkutan ART dijangka siap pada 2025.