ASAJAYA: Pasukan Jang Samarahan merangkul gelaran ‘Raja Sungai’ pada Regata Samarahan 2015 yang berakhir di Tebingan Tambirat di sini petang semalam.
Pasukan itu berjaya menawan Batang Samarahan pada perlumbaan akhir kategori perahu bidar 30 pekayuh lelaki sekali gus menewaskan tujuh pasukan lain.
Dengan gelaran itu, Jang Samarahan membawa pulang Piala Raja Batang Samarahan Regata Samarahan 2015, piala iringan dan wang tunai RM5,000.
“Kami berasa amat gembira kerana pasukan kami berjaya merangkul gelaran Raja Batang Samarahan pada regata kali ini.
“Ini adalah hasil kerja keras semua ahli pasukan untuk memenangi piala ini.
Terima kasih kepada semua terlibat,” kata Pengurus Jang Samarahan, Hazemi Ismawi ketika ditemui di sini semalam.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Muda Perumahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ditemani Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.
Sementara itu, pasukan Yayasan Sarawak (Puteri Dang Balai) merangkul tempat kedua diikuti Sinaran Ratu Siska (Sri Muara Tuang 3) di tempat ketiga.
Bagi acara perahu bidar 25 pekayuh lelaki akhir, tempat pertama disandang pasukan Armada Pemuda PBB 2 diikuti Rusa Sakti tempat kedua dan Puteri Dang Balai di tempat ketiga.
Acara perahu bidar 20 pekayuh lelaki akhir, Puteri Dang Balai dinobatkan sebagai juara, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Sinaran Ratu Siska dan Jang Saribas.
Manakala acara perahu bidar 15 pekayuh lelaki akhir, tempat pertama dimenangi GP Jang diikuti Pelangi dan Komeng 3 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi acara perahu bidar 10 pekayuh akhir, tempat pertama dimenangi Puteri Dang Balai diikuti Warisan Lanun di tempat kedua dan Sri Pakatt 8 tempat ketiga. -UB