Wednesday, January 25, 2017

Jalan Datuk Mohamad Musa, catat kemalangan maut tertinggi di Sarawak



Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengenal pasti Jalan Datuk Mohamad Musa, Kota Samarahan mencapai angka kemalangan maut tertinggi di Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah JKJR Datuk Roslan Eusoff berkata faktor menyebabkan kemalangan maut berlaku di situ adalah kecuaian pemandu yang membawa kenderaan melebihi had laju.

“Keadaan jalan raya yang lurus di Kota Samarahan menyebabkan segelintir pemandu memandu laju tanpa memikirkan keselamatan diri, jika berlaku kemalangan peluang untuk hidup adalah tipis,” katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku di jalan lurus menyaksikan jarang mangsa akan terselamat berbanding kemalangan berlaku jika pemandu mematuhi had laju.

“Jika mematuhi had laju dan berlaku kemalangan di jalan lurus keberangkalian untuk selamat adalah tinggi dan kita menasihati agar tabiat membawa kenderaan laju ini dikurangkan,” katanya.

Bagi mengurangkan kemalangan maut, maka program kluster keselamatan jalan raya dirancang terutama di kawasan kerap kemalangan sekali gus memberi kesedaran kepada komuniti setempat.

Menurutnya, tujuh panduan keselamatan jalan raya sering disebarkan kepada komuniti agar mereka tahu peraturan semasa berada di jalan raya.

Antaranya ialah pakai tali pinggang keledar sepanjang masa, ikat topi keledar, jangan memandu laju dan awasi had laju, guna laluan pejalan kaki, guna kerusi keselamatan kanak-kanak dan jangan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Mengulas perkara sama, Pengarah JKJR Sarawak Davina Agnes berkata jika memakai tali pinggang keselamatan maka dapat mengurangkan 50 peratus kecederaan parah.

“Badan manusia hanya dapat bertahan dengan perlanggaran tidak lebih 30 kilometer sejam dan jika memandu lebih daripada 90 kilometer, maka kita jarang melihat ada mangsa terselamat dalam kemalangan terutama di jalan lurus,” katanya. U.B
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment