Wednesday, April 4, 2018

Insiden pesara tentera mati, lapan rakan sepemburu direman


KOTA SAMARAHAN: Lapan individu dipercayai rakan pesara tentera yang mati disyaki akibat tertembak diri dalam satu insiden di hutan Kampung Mang di sini pagi Ahad lepas ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah DSP Lee Chong Chern semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu kelapan-lapan lelaki terbabit direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

“Lapan suspek yang berburu bersama mangsa ditangkap dan hakim meluluskan perintah tahanan reman selama tujuh hari mulai 2 hingga 8 April ini.“Selain itu, turut dirampas ialah tiga laras senapang termasuk dua kepunyaan rakan mangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Lee, mangsa meninggal dunia dengan terdapat kesan tembakan pada bahagian rusuk kiri, depan paha kanan dan punggung sebelah kiri serta terdapat kesan lebam pada bahagian rusuk kanannya.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 4 April ini disebabkan ahli patologi kini dalam tugas rasmi di Miri,” jelasnya.

Dalam kejadian itu, mangsa, Bong Francis berusia 46 tahun ditemui mati selepas dikatakan tertembak dirinya.Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dikatakan bersama rakan-rakan serta anaknya masuk ke kawasan hutan tersebut untuk berburu sebelum mangsa memberitahu rakan-rakannya hendak membuang air besar di kawasan sungai berhampiran.

Bagaimanapun, kumpulan pemburu itu dikejutkan dengan bunyi tembakan sebelum mendengar bunyi jeritan mangsa meminta tolong.Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terlentang dan dipercayai telah meninggal dunia.

Sumber : utusan borneo
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment