Friday, May 17, 2013

Pameran Raja Kita di Kota Samarahan pada 1 Jun

Tuanku Abdul Halim



KUCHING: Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Peringkat Negeri tahun ini lebih istimewa dengan penganjuran Pameran Raja Kita di Dewan Suarah Kota Samarahan pada 1 Jun ini.


Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong yang juga pengerusi jawatankuasa sambutan itu berkata, pameran yang julung kali diadakan itu akan memaparkan sejarah dan warisan Agong dari yang pertama hingga ke-14 sekarang.

“Ini adalah kali pertama ia dianjurkan. Kita harap masyarakat dapat datang beramai-ramai agar mengetahui warisan sejarah kita,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XIV Peringkat Negeri 2013 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.

Manyin berkata, seramai 2,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

“Sambutan kali ini adalah istimewa kerana ini adalah kali kedua Agong (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah) ditabalkan menjadi Agong, pertama dalam sejarah,” katanya.

Tuanku Abdul Halim merupakan Yang Dipertuan Agong kelima dari tahun 1970 hingga 1975 dan menjadi Agong ke-14 sejak Disember lalu.

Sambutan itu akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid At-Muttaqin, Kota Samarahan pada jam 6 petang 31 Mei, diikuti majlis makan malam.

Manakala pada 1 Jun pula, majlis jamuan teh akan diadakan di Dewan Suarah bermula jam 9 pagi.

Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib dijangka hadir pada kedua-dua majlis tersebut.

Tun Salahuddin dijangka akan menyempurnakan upacara Ucap Selamat sempena sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan seperti persembahan hiburan daripada Kementerian Pembangunan Sosial, kuiz dan banyak lagi.

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment