Wednesday, May 15, 2013

Kampus Samarahan 2 bakal sedia 4,000 tempat lagi kepada pelajar baharu

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Kampus Samarahan Dua yang dijangka beroperasi mulai September akan datang bakal menyediakan peluang yang lebih luas kepada anak Bumiputera melanjutkan pengajian ke menara gading di negeri ini.

Naib Canselor UiTM Datuk Seri Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kampus baharu itu akan menyediakan tambahan sekurang-kurangnya 4,000 tempat kepada pelajar baharu yang terdiri daripada pelajar miskin dan anak yatim.

“Kampus UiTM Samarahan Dua yang mempunyai keluasan pembangunan fasa pertama 88 ekar daripada 1,000 ekar luas keseluruhan kampus yang terletak di Kampung Pinang ini dijangka akan beroperasi mulai September nanti.

“Insya-Allah ini akan dapat menyediakan tambahan sekurang- kurangnya 4,000 tempat kepada pelajar baharu terdiri pelajar miskin dan anak yatim bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke menara gading,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UiTM Ke-78 di Dewan Jubli UiTM Sarawak yang menyaksikan seramai 984 graduan berjaya menamatkan pengajian mereka dalam ijazah dan diploma.

Sahol berkata Kampus UiTM Samarahan Dua di Kampung Pinang merupakan projek pertama dibina dan siap dengan menggunakan pendekatan PFI (Private Finance Incentive) yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

“Dari segi enrolmen pelajar pula, sehingga sekarang jumlah pelajar UiTM Sarawak mencecah 8,000 orang meliputi pelajar di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda termasuk pelajar yang mengikuti pengajian jarak jauh,” tambahnya.

Oleh itu tegasnya, UiTM Sarawak yakin mampu mencapai sasaran untuk mempunyai 10,000 pelajar menjelang 2015.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu selain UiTM Kampus Samarahan Dua, UiTM Kampus Mukah baharu kini dalam proses pembinaan di tapak seluas 500 ekar.

“Projek ini merupakan fasa kedua kaedah PFI yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta untuk UiTM dan dijangka siap dan beroperasi mulai Oktober 2015.

“Segala usaha ini adalah sejajar dengan matlamat penubuhan asal UiTM iaitu menyediakan tempat bagi pelajar miskin dan anak yatim terutama dari luar bandar untuk melanjutkan pengajian mereka,” jelasnya lagi.

Selain itu, Sahol memberitahu mulai tahun depan, UiTM bakal memperkenalkan dua lagi program baharu iaitu Diploma Pengurusan Halal dan Diploma Pengeluaran Herba melalui dua penggunaan bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.

Justeru, beliau berharap dengan adanya peluang yang disediakan oleh UiTM itu ia dapat menjadi platform terbaik untuk memperkasakan dan memajukan pelajar Bumiputera di negeri ini.

Majlis konvokesyen itu turut dihadiri Rektor UiTM Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Profesor Madya Dr Rosita Suhaimi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah, Timbalan Rektor Perhubungan dan Jaringan Industri Prof Madya Dr Rasidah Mahdi dan tetamu kehormat lain.


Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment