Kota Samarahan :
Seorang penunggang motosikal berada dalam keadaan kritikal setelah terbabit
dalam kemalangan berhampiran sebuah universiti tempatan di Jalan Meranek, Kota
Samarahan, awal pagi semalam.
Kemalangan
sekitar jam 11 malam itu berlaku ketika lelaki dari Sadong Jaya itu terlanggar
anjing dan kemudiannya terhumban ke jalan raya.
Mangsa
yang berusia 26 tahun itu mengalami beberapa kecederaan di tubuh, termasuk
kecederaan teruk di bahagian kepala.
Lelaki
berkenaan dikatakan dalam perjalanan balik setelah berkunjung ke rumah
rakannya di Desa Ilmu.
Mangsa
dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak, sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU)
Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 2 pagi bagi rawatan lanjut.
Sementara
itu, mangsa jatuh dari pokok durian Ahad lepas yang berada dalam keadaan
kritikal menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.
Mangsa
yang dikenal pasti Kipol Dennis, 54, yang telah berkahwin dan dikurniakan anak
perempuan itu cuba meluangkan masa untuk aktiviti riadah, bersama keluarga
termasuk bapanya di dusun durian, di Muara Tuang.
Bagaimanapun
mangsa terjatuh ketika cuba menjatuhkan raja buah tersebut. Manakala
dalam kes berasingan, seorang warga Indonesia terpaksa menerima beberapa
jahitan di bahagian tangan setelah digigit ular sawa ‘peliharaannya’, malam
Ahad lepas.
Mangsa
yang bekerja di kedai perabot di Kota Sentosa tersebut, menemui ular sawa
berkenaan di sebuah jalan di Kota Samarahan beberapa hari lepas dan berhasrat
menyimpannya. Sekitar
jam 8 malam semalam ketika mangsa cuba membuka sangkar untuk memberinya makan,
ular berkenaan bertindak agresif dan menggigit tangan kanannya.
Rakan
sekerja mangsa yang terdengar jeritan mangsa bergegas ke tempat kejadian untuk
membantunya dan seterusnya membunuh ular tersebut. Mangsa
dikejarkan ke HUS oleh rakannya untuk menerima rawatan.