Thursday, September 26, 2013

The Summer Mall, gedung beli-belah pertama di Samarahan dirasmikan

KOTA SAMARAHAN: Satu lagi sejarah berjaya dilakar di sini semalam dengan pelancaran rasmi  gedung beli-belah yang pertama di bahagian Samarahan, The Summer Mall.


Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Berkonsepkan reka bentuk ‘pokok apong’ (nipah) bangunan yang mempunyai keluasan 900,000 kaki persegi dengan megahnya menghimpunkan lebih 200 kedai menjual pelbagai produk termasuk menyediakan hiburan kepada pengunjungnya.

Projek pembinaan The Summer Mall bermula pada April 2011 dan siap serta mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Jun tahun ini, semestinya memberi kejutan kepada penduduk setempat yang sentiasa menantikan kemudahan seperti itu di kawasan berkenaan.

The Summer Mall berkonsepkan pembangunan bersepadu terdiri daripada peruncitan, kedai makan, hiburan dan kemudahan rekreasi seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk mentransformasikan Kota Samarahan menjadi pusat pendidikan dan gedung ilmu.

Pengarah Urusan The Summer Mall yang juga Pengarah Urusan Tetap Majumas Sdn Bhd Datuk Lee Chee Fui dalam ucapan aluannya berkata sememangnya menjadi impian kumpulan syarikat itu menyediakan kemudahan serta kemudahan beli-belah lebih selesa kepada penduduk di Kota Samarahan serta kawasan sekitarnya.

“Penyewa utama kita ialah Pasar Raya Servay dan Kedai Serba Guna Parkwell yang menawarkan pelbagai jenis barangan berkualiti pada harga berpatutan.

“Selain itu bagi membolehkan pelanggan menikmati suasana baharu membeli-belah, terdapat kedai menjual barangan jenama antarabangsa seperti Starbucks, Baskin Robins, Secret Recipe, Watson, The Face Shop, SugarBun dan Esprit,” katanya.

The Summer Mall juga katanya menyediakan sumber hiburan yang sihat dan tempat pertemuan baharu untuk generasi muda bagi membantu mengurangkan pendedahan mereka kepada gaya hidup tidak sihat.

Menurutnya dengan pembukaan gedung beli belah berkenaan di Segi Tiga Emas Samarahan, penduduk tempatan tidak lagi perlu ke bandar raya Kuching untuk menonton filem terbaharu apabila panggung wayang Lotus Five Star mula beroperasi di situ nanti.

“Gedung beli-belah kita dibina berdasarkan konsep menyumbang semula kepada komuniti kerana ia menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat supaya generasi muda berbakat tidak berhijrah keluar,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap kerjasama antara kumpulan syarikat itu dengan kerajaan negeri dapat dimantapkan lagi agar kemudahan infrastruktur di Kota Samarahan dapat dipertingkatkan.

Menurutnya beberapa projek yang sedang dilaksanakan kumpulan syarikat itu ialah Taman Tema Air yang pertama di Sarawak dan pangsapuri kediaman juga di kawasan sama yang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan.



Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment