Monday, January 27, 2014

Jambatan Batang Samarahan dijangka mula dibina tahun ini

KUCHING: Projek pembinaan jambatan yang merentasi Batang Samarahan dengan kos RM150 juta dijangka bermula tahun ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.


Beliau berkata, jambatan itu merupakan keperluan mendesak penduduk memandangkan bilangan kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, projek di bawah kerajaan persekutuan itu akan menghubungkan Kampung Baru di Kota Samarahan dan Kampung Tambey, Asajaya.

“Tender untuk projek ini telah dikeluarkan dan saya jangka ia (pembinaan) akan bermula tahun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dengan siapnya projek itu nanti beliau berkata, tempoh perjalanan menuju ke Asajaya menggunakan kenderaan boleh dikurangkan sebanyak 30 minit.

“Ketika ini orang ramai terpaksa menggunakan perjalanan jauh atau menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Asajaya dari Kota Samarahan,” ujarnya.

Malah, katanya, tanah yang terdapat di dua kampung tersebut juga sudah diambil kerajaan untuk tujuan pelaksanaan projek berkenaan.

“Ini (jambatan) merupakan isu utama di Asajaya ketika ini memandangkan kebanyakan penduduk mempunyai kenderaan dan mereka amat memerlukan jambatan,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut Karim, tumpuan pada tahun ini turut membabitkan kerja menaik taraf dan membina masjid serta surau.

“Ia adalah proses berterusan yang kita jalankan untuk manfaat masyarakat,” kata Karim.

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment