Wednesday, December 24, 2014

KBS rancang wujud kompleks sukan mini rekreasi

Gambar sekadar hiasan
KOTA SAMARAHAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang mewujudkan kompleks sukan mini yang berkonsepkan rekreasi berdekatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Ketua Setiausahanya Datuk Jamil Salleh berkata, lokasi projek merupakan tapak gantian oleh UNIMAS selepas tanah milik KBS di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce digunakan untuk pembinaan Fakulti Perubatan universiti tersebut.
Menurutnya, kompleks tersebut akan menempatkan pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, tenis, padang bola sepak sintetik, tasik untuk aktiviti berkayak dan kenu di samping tapak perkhemahan bagi melatih belia serta pelajar sekolah.
“Kita akan mengubah sedikit konsep pembinaan sebab kandungan tanah adalah berpaya dan keras…mungkin dibina dengan konsep rekreasi.
“Ia lebih kepada sukan dalam dewan dan kita tidak boleh buat besar kerana tanah terhad sekitar 20 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak tanah gantian untuk KBS di sini, semalam.
Jamil turut yakin kompleks tersebut akan menjadi tumpuan orang ramai kerana berdekatan jalan utama dan kawasan perumahan selain pusat pengajian tinggi.
“Ia adalah untuk kegunaan penduduk setempat dan pelajar pusat pengajian tinggi di sini.
“Saya yakin dengan adanya pusat ini nanti, penduduk setempat dapat menggunakan segala kemudahan secara kondusif,” ujarnya.
Beliau menjangkakan kos keseluruhan untuk pembinaan kompleks tersebut melebihi RM10 juta.

“Namun banyak perkara perlu diambil kira. Buat masa ini kita sedang kenal pasti jenis kemudahan sukan yang akan dibina,” jelasnya.
Hadir sama Pengarah Belia dan Sukan Sarawak Abdul Haris Ishak.- kameksayangsamarahan

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment