KOTA SAMARAHAN: Selepas dua hari dinaiki air sedalam kira-kira tiga meter, penduduk Kampung Endap di sini, menarik nafas lega selepas air banjir surut sejak awal pagi semalam.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Endap Saberi Muhammad, keadaan semalam bertambah baik berbanding dua hari lepas yang menyaksikan penduduk kampung itu terputus hubungan dengan dunia luar kerana jalan ke kampung berkenaan dinaiki air sedalam 2.5 hingga tiga meter.
“Hari ini keadaan lebih baik berbanding dua hari lepas dengan keadaan paras air setakat ini (2 petang semalam) hanya sekitar satu meter.
Dua hari lepas lebih-lebih lagi Isnin, kami semua terperangkap tidak dapat keluar kerana jalan terputus sama sekali.
“Tiada kenderaan dapat lalu melainkan menggunakan bot tetapi hari ini, dengan izin Tuhan semuanya semakin baik dengan paras air setakat ini sudah turun dan jalan dapat dilalui semua jenis kenderaan,” katanya sambil menambah banjir kali ini adalah yang terburuk dialami kampung itu berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tambah Saberi lagi, rata-rata penduduk kampung tidak menjangka banjir kali ini lebih teruk kerana sebelum ini keadaan masih terkawal dan disebabkan itu mereka tidak bersedia untuk menghadapi bencana itu.
“Air naik dengan begitu cepat sekali. Semua kami tidak menjangka banjir besar berlaku.
“Kami langsung tidak membuat sebarang pesiapan. Namun syukurlah tiada kehilangan nyawa berlaku. Saya amat berharap keadaan akan pulih sepenuhnya dalam waktu terdekat ini,” jelasnya.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Samarahan Ahmad Shahfikri Darus berkata walaupun paras air sudah surut pihaknya tetap bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan malah menempatkan tiga bot dan 26 anggota di situ sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami belum mengeluarkan arahan menarik balik logistik dan anggota, khuatir air akan naik semula kerana amaran air pasang besar adalah hingga esok (hari ini),” katanya sambil memberitahu hampir 80 peratus daripada penduduk kampung itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Endap.
Sehingga jam 2 petang semalam, seramai 335 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan itu berbanding 428 sebelum ini kerana beberapa keluarga mengambil keputusan pulang ke rumah masing-masing ekoran paras air sudah surut.