Wednesday, July 29, 2015

Dibelasah mati dipercayai kerana hutang



Kota Samarahan : Seorang lelaki terbunuh akibat kecederaan yang dialaminya selepas dibelasah di sebuah kedai di Kota Samarahan, lewat malam kelmarin.

Mangsa ialah Wee Ping Chang, 21, berasal dari Jalan Krokop, Miri.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata, mangsa dipercayai dibelasah sehingga menyebabkan kecederaan parah kerana dikatakan tidak menjelaskan hutang.

Bagaimanapun, suspek utama kes terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun berjaya ditahan kurang daripada 24 jam kes tersebut dilaporkan.

“Ekoran itu, mangsa yang mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta oleh rakannya, namun disahkan meninggal dunia selepas itu.

“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 41 tahun, di mana motif serangan kerana mangsa masih berhutang wang dengan suspek,” kata Dev.

Menurutnya lagi, pihaknya berjaya menahan empat individu termasuk suspek utama dan dua wanita iaitu seorang daripadanya adalah teman wanita mangsa serta pemilik kedai tempat kejadian tersebut berlaku.

“Mulanya kita menahan lelaki yang menghantar mangsa ke hospital, di mana dalam laporannya dia memberitahu menjumpai mangsa di Tabuan Jaya dan siasatan di situ (Tabuan Jaya) mendapati laporan tersebut tidak benar.

“Manakala tangkapan kedua dan ketiga ialah seorang wanita dari kedai tempat mangsa diserang dan seorang lagi ialah teman wanita mangsa, dan hasil soal siasat mendapati mereka memberikan kenyataan bercanggah.

“Siasatan diteruskan dan membawa kepada cerita sebenar, membolehkan kita menangkap suspek utama di Kota Samarahan selepas itu,” jelas beliau.

Ditanya mengenai hubungan suspek utama dengan mangsa, Dev tidak menolak kemungkinan suspek adalah bekas majikan mangsa.

“Kita kurang pasti hubungan suspek utama dengan mangsa, tetapi kita percaya, mungkin suspek ialah bekas majikannya, dan mangsa ada meminjam wang daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Dev memberitahu mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat.

“Kita juga masih menyiasat bagaimana serangan tersebut berlaku dan setakat ini kita masih belum dapat memastikan sekiranya ada senjata digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya.

Tambah beliau, suspek utama kes terbabit ditahan oleh anggota dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang diketuai DSP Sarifuddin Mustafa.

Dev juga memberitahu pihaknya masih menjejaki beberapa lagi individu yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment