Friday, July 10, 2015

Pertandingan Bertuntong Raya 2015, 13-15 Julai


























SIMUNJAN: Kelab Generasi Baru, Kampung Nanas Ulu Simunjan (KGBNUS) akan menganjurkan Pertandingan Bertuntong Raya 2015 bermula malam 13 hingga malam 15 Julai ini.

Jurucakap pengelola kelab memberitahu, pertandingan ini diadakan bertujuan menghidup semula semangat bertuntong dalam kalangan masyarakat memandangkan tradisi ini saban hari semakin pupus.

Menurutnya lagi, menerusi pertandingan ini, peserta dapat mewujudkan kembali amalan bertuntong serta dapat mengeratkan lagi perpaduan dan memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat.

“Sebagai generasi muda di kampung ini, kita berharap dapat membuka minda masyarakat kampung untuk bersama membangunkan aktiviti peringkat kampung serta mempromosi kampung ini,” ujarnya.

Katanya pertandingan ini nanti adalah terbuka kepada penduduk Kampung Nanas sahaja di mana bahan-bahan yang digunakan untuk pertandingan ini adalah berasaskan buluh, botol terbuang serta pelita yang dijual di pasar.

“Pertandingan ini akan diadakan pada tiga malam berturut-turut iaitu pada malam 13 hingga 15 Julai. Tarikh tutup penyertaan telah ditetap pada 12 Julai ini.

“Borang penyertaan serta keterangan lanjut pertandingan ini boleh berhubung terus dengan Ellfizan menerusi talian 019-8381922 atau Boboy di talian 013-5711400. Setiap penyertaan akan dikenakan yuran sebanyak RM10 sahaja,” jelasnya.

Tambahnya lagi, johan, naib johan dan tempat ketiga bakal membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai manakala pemenang tempat keempat hingga keenam diberikan hadiah sagu hati.

Justeru katanya, penduduk kampung ini tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. -UB
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment