Wednesday, July 8, 2015

Sanggup berhenti kerja usahakan nanas



Walaupun mempunyai pen­dapatan tetap sebagai pe­mandu lori, namun minat mendalam terhadap tanaman nanas mendorong Salim Bujang, 42, sanggup berhenti kerja lima tahun lalu bagi membolehkannya mengusahakan kebun buah-buahan itu di Kampung Maranek di sini.

Keputusan diambil itu ternyata tidak silap apabila beliau kini mampu meraih pendapatan lumayan ha­sil jualan nanas yang ditanam.

Salim berkata, jika dahulu sebagai pemandu lori, beliau terikat dengan masa tetapi kini dengan berbakti kepada tanah seluas 0.8 hektar berdekatan kampungnya, beliau bebas mengatur jadual kerjanya.

Katanya, penanaman nanas tidaklah terlalu sukar kerana hanya perlu diberi baja dan membuang rumput di sekelilingnya bagi menghasilkan buah yang baik.

“Hasil jualan nanas jenis Sarikei, Johor, Paun dan N36 yang ditanam, saya kini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari.

“Saya dibantu oleh isteri, Rohana Katon, 40, menjual nanas di tepi jalan menuju ke Asajaya di sini, mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kebunnya baru-baru ini.

Salim berkata, selain menjual nanas ditanam sendiri, beliau turut membeli buah-buahan itu daripada penduduk kampung untuk dijual.

Menurutnya, nanas mengambil masa setahun enam bulan untuk masak dan paling banyak mengeluarkan hasil pada Julai.

Katanya, beliau menanam nanas untuk dikutip hasil hanya sekali setahun tetapi terdapat penduduk yang mengeluarkan buah-buahan itu sepanjang tahun kerana menggunakan kaedah suntikan hormon.

“Bagaimanapun, terdapat perbezaan rasa antara nenas yang dita­nam secara semula jadi dan menggunakan suntikan hormon.

“Nanas ditanam menerusi kaedah biasa mempunyai rasa lebih manis dan segar,” katanya.

Antara nanas dijual, katanya, pe­langgan lebih menggemari nanas Johor kerana rasanya sangat manis, manakala nanas Paun pula banyak ditempah untuk membuat pajeri nanas semasa mengadakan kenduri.

Salim berkata, beliau menjual nanas bersaiz sederhana dengan harga RM10 untuk empat biji dan RM4 hingga RM5 sebiji bagi buah besar.

Seorang lagi penjual nanas yang ditemui, Norhaslina Mahruf, 18, dari Kampung Naie memberitahu, keluarganya sudah lama mengusahakan tanaman buah-buahan tersebut.

“Ibu bapa saya merupakan petani dan hampir setiap hari mereka akan pergi ke kebun nanas tidak jauh dari rumah, manakala saya pula akan membantu mereka menjual nanas di depan rumah,” kata­nya sambil memberitahu pekerjaan itu membolehkan keluarganya me­raih pendapatan lebih RM100 sehari.

Selain Kampung Meranek dan Kampung Naie, dua lagi kampung di daerah ini iaitu Kampung Sindang Baru dan Kampung Sungai Mata turut popular dengan tanaman nanas.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sahdan Salim memberitahu, Sarawak berpotensi menjadi kawasan penanaman nanas terbesar negara menjelang akhir tahun ini.

“Ketika ini, daerah Samarahan dan Saratok telah lama dibangunkan sebagai kawasan penanaman nanas dan kita merancang untuk memperkenalkan projek sama di bahagian Betong, Mukah dan Sarikei.

“Seterusnya, kita akan memperluaskan projek penanaman nanas ke Bintulu, Miri dan Limbang. Sekiranya, projek terbabit berjalan lancar, Sarawak dapat mengambil alih Johor sebagai kawasan penanaman nanas terbesar negara menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada segi pasaran, nanas tidak menghadapi banyak kekangan me­mandangkan buah-buahan itu mendapat permintaan tinggi.

Katanya, ketika ini, terdapat 500 pengusaha nanas di Sarawak dan dijangkakan kawasan tanaman itu akan mencapai 1,100 hektar di ne­geri ini menjelang akhir tahun ini.

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment