Wednesday, July 8, 2015

YJS menyumbang hampir RM40 juta kepada HUS



KOTA SAMARAHAN: Yayasan Jantung Sarawak (YJS) telah menyumbang hampir RM40 juta kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menambah baik perkhidmatan serta rawatan kepada pesakit jantung di negeri ini.

Ahli Lembaga YJS yang juga isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu berkata sumbangan dihulurkan adalah dalam bentuk peralatan perubatan digunakan pakar dan kos perubatan pesakit yang mendapat rawatan di luar negara.

“Kami menubuhkan Yayasan Jantung Sarawak pada 1998, bermula dari tahun itu hingga hari ini kami memberi sokongan bermula di Hospital Umum Sarawak iaitu sebelum Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak ditubuhkan.

“Sehingga hari ini kami telah menyumbang kira-kira RM40 juta dalam bentuk peralatan perubatan selain membiayai kos rawatan pesakit di Semenanjung Malaysia atau Singapura,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan Hari Raya dalam bentuk wang tunai dan makanan kepada pesakit serta beberapa peralatan perubatan kepada Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak ( PJHUS) daripada YJS.

Menurut Jamilah sebelum PJHUS ditubuhkan, YJS terpaksa membiayai kos rawatan pesakit jantung terutama dalam kalangan kanak-kanak yang perlu melakukan pembedahan jantung di Singapura yang menelan belanja antara RM20,000 hingga RM40,000 seorang.

“Sekarang kami sudah ada pusat jantung sendiri, kami tidak perlu menghantar mereka (pesakit) ke luar Sarawak untuk mendapatkan rawatan, ia banyak menjimatkan.

“Oleh itu, sekarang YJS mengubah pendekatan menyumbang iaitu lebih kepada sumbangan dalam bentuk peralatan perubatan dan pada masa sama menganjurkan kempen kesedaran dengan sokongan para pakar kardiologi daripada PJHUS,” jelasnya.

Beliau berkata memberitahu sumbangan paling besar diberikan YJS kepada PJHUS ialah sebuah mesin pengimbas CT bernilai sekitar RM4 juta seunit untuk kegunaan pakar di situ.

“Dalam hal ini kami tidak dapat lari daripada penyumbang yang ikhlas membantu, yang sungguh prihatin dan sudah tentu para ahli lembaga, pakar serta kerajaan pusat.

“Apa yang kita lihat dan nikmati hari ini adalah hasil kerjasama semua pihak selama ini untuk memastikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit serta rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
Sementara itu, 128 bungkusan sumbangan raya diagihkan kepada pesakit PJHUS manakala antara peralatan disumbang ialah dua unit basikal senaman, seunit troli kecemasan dan tiga unit mesin air membabitkan kos keseluruhan RM30,000.

Hadir sama Pengarah PJHUS Dr Mohd Asri Affin, Ketua Pakar Bedah Jantung Dr Jong Yuan Hsun, Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal PJHUS Dr Alan Fong Yean Yip, Ahli Lembaga YJS Datuk Anne Teng dan Pauline Kon.

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment