Thursday, November 12, 2015

Kolej Allamanda,SMK Kota Samarahan juara citrawarna UNIMAS


KOTA SAMARAHAN,  12 November 2015 : Kejayaan berganda buat pasukan Kolej Allamanda apabila menjuarai pertandingan Citrawarna UNIMAS 2015 bagi kategori kolej dan anugerah pakaian terbaik, malam tadi.

Manakala bagi kategori sekolah-sekolah menengah dimenangi oleh SMK Kota Samarahan sekaligus menyingkirkan tujuh sekolah lain yang turut menyertainya.

Tempat kedua bagi kategori kolej dimenangi oleh Kolej Bunga Raya manakala tempat ketiga disandang oleh Kolej Cempaka.


Manakala kategori sekolah, tempat kedua disandang oleh SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor dan tempat ketiga, Sekolah Seni Malaysia.

Bagi juara untuk kedua-dua kategori berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 dan piala, manakala tempat kedua, mendapat wang tunai sebanyak RM1,500 dan piala seterusnya tempat ketiga, wang tunai sebanyak RM1,000 dan piala.
Selain itu, anugerah pakaian terbaik bagi sekolah menengah dimenangi oleh SMK Hajah Laila Taib dimana bagi pemenang anugerah ini membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan piala.

Bagi anugerah muzik terbaik untuk kategori kolej disandang oleh Kolej Bunga Raya dan kategori sekolah menengah oleh SMK St Teresa dengan hadiah berupa wang tunai RM300 dan piala.
Anugerah khas juri bagi kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Wira Penrissen dan Kolej Kenanga bagi kategori kolej dengan hadiah berupa wang tunai RM200 dan piala.
Turut disediakan anugerah penampilan khas yang disandang oleh SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor.

Tahniah SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor dapat Naib JohanCitrawarna Unimas 2015
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Menteri Muda Pelancongan, Datuk Haji Talip Zulpilip.

Turut hadir sama ialah Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Pendaftar, Tuan Haji Abu Bakar Ibrahim dan Pegawai-pegawai UNIMAS.

Majlis Perasmian ConFest2015 dimulakan dengan  perarakan dan pertandingan Citrawarna UNIMAS 2015 bertemakan“The Colours of the World” yang akan memaparkan kreativiti dan inovatif para pelajar di dalam mempersembahkan tarian kebudayaan dan kesenian. 

Berbeza daripada tahun sebelumnya, ConFest2015 kali ini berlangsung selama 7 hari dan dimeriahkan dengan pelbagai acara bermula dari 11 hingga 17 November 2015. 
Pelbagai pengisian telah dirancang dan dilaksanakan sepanjang tempoh festival tersebut berlangsung antaranya ialah pembukaan kira-kira 80 buah gerai yang merupakan gerai paling banyak pernah disediakan oleh penganjur. 

Persembahan dari Kolej Sakura

Pelbagai pertandingan turut diadakan antaranya kejohanan tarik Tali terbuka UNIMAS, UNIMAS Duathlon Challenge 2015, Pesta Buku Konvokesyen, Khatamal Al-Quran, ‘Kolam’, ‘Go-Bald’, Movie Night, DOTA 2 Championship & PC Fair, Pertandingan Nyanyian Minus-One UNIMAS 2015, Pertandingan Battle of the Band UNIMAS 2015, ConFest Bowling Championship, Pertandingan Senam Seni UNIMAS 2015, Joran PERSADA, pameran daripada agensi luar dan swasta serta program UNIMAS Street Festival. Turut diadakan program berbentuk kesukanan dan kesihatan seperti ConFest Health Care Day dan Run4Life!


Sementara itu Konsert Perdana Festival Konvokesyen UNIMAS 2015 juga turut tersenarai bagi memeriahkan lagi ConFest2015 kali ini. Konsert pada tahun ini akan menampilkan kumpulan Drama Band, penyanyi tempatan Leez Zwita serta penyanyi yang semakin meningkat populariti dan berasal dari Sarawak, Ir Radzi. Kosert Perdana Festival Konvokesyen UNIMAS 2015 akan diadakan pada hari Sabtu, 14 November 2015 bermula jam 8.00 malam.


Gerai-gerai jualan turut mendapat sambutan di kalangan pelajar serta orang awam yang tidak henti mengunjungi gerai-gerai berkenaan. Antara gerai yang dibuka adalah gerai makanan, pakaian serta pelbagai gerai lagi. Selain itu pameran daripada pihak badan kerajaan serta bukan kerajaan turut dibuka.

Artikel oleh: Sarena Haidir
Foto oleh : Azlandy MAT
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment