Tuesday, October 11, 2016

Jambatan Batang Sadong dijangka beroperasi bulan Oktober



SRI AMAN: Selepas siapnya Projek Jambatan Batang Sadong yang dijangka beroperasi sepenuhnya minggu depan dan dirasmi bulan ini, pembinaan Jambatan Lupar di Sri Aman pula akan segera menyusul.

Pembinaan Jambatan Batang Lupar yang bermula tahun hadapan akan membuka satu lagi lembaran pembangunan yang membawa harapan baru buat kawasan Batang Lupar yang terkenal dengan Legenda Bujang Senang di Sri Aman.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, “ia bukan sahaja membuka pembangunan kawasan berkenaan tetapi juga memendekkan perjalanan penduduk kawasan di Triso, Maludam, Beladin serta penduduk berdekatan untuk ke Kuching,” ujarnya.

Mewakili penduduk Batang Lupar, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar merakam ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri kerana meluluskan Projek Pembinaan Jambatan Batang Lupar ini.

Bercakap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Pusat Wakil Rakyat Parlimen Batang Lupar di Rumah Nyuin, Tawang Tengah, Tanjung Bijat pada Sabtu, Rohani berkata, “semua pembangunan dilaksana kerajaan sekarang ini kebanyakannya tertumpu ke kawasan luar bandar.”

Beliau menambah kata bahawa hal ini membuktikan kerajaan mahu melihat rakyat kawasan luar bandar membangun hidup senang dan seimbang seperti penduduk kawasan bandar.

Pada majlis tersebut Rohani mengumumkan peruntukan RM3,000 masing-masing kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Nyuin.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment