Thursday, October 27, 2016

Pemandu lori terbunuh setelah bertembung dengan sebuah lagi lori


KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki terbunuh selepas lori yang dipandunya terbabas lalu bertembung dengan sebuah lagi lori di Kilometer 18 Jalan Moyan, Asajaya, di sini semalam.

Menurut sumber, mangsa dikenali sebagai Chia Kuet Chew berusia 59 tahun semasa kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Moyan Laut iaitu dari arah Kota Samarahan sekitar jam 1.30 petang.

Difahamkan, mangsa ketika kejadian cuba memintas sebuah kenderaan lain sebelum lori yang dipandunya terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh sebuah lagi lori.

“Tiba-tiba lori yang dipandu mangsa terbabas ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain lalu masuk ke arah jalan raya bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi lori.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa yang tersepit di dalam lorinya dilaporkan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata sumber.

Mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan dari dalam lori berkenaan dengan bantuan daripada pihak bomba kemudian dihantar ke Hospital Samarahan untuk bedah siasat.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak DSP Alexson Naga semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Pegawai dan anggota trafik daripada IPD Kota Samarahan turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment