Wednesday, November 23, 2016

Penuntut Malaysia ditemui mati di bilik sewa



JAKARTA: Seorang penuntut Malaysia di Universiti Islam Negeri Sunan Ampel di Surabaya, dijumpai mati di dalam bilik di rumah sewanya berhampiran kampus universiti itu semalam.

Abdul Mu’izz Rusli, 19, penuntut tahun pertama Jurusan Bimbingan dan Kaunseling Islam, didapati tidak sedarkan diri semasa dikejutkan rakannya supaya bangun menunaikan solat Subuh.

Atase Pendidikan Malaysia di Indonesia Mohamad Hidayat Mohamad Saufi berkata, rakannya juga mendapati mulut Abdul Mu’izz, yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak, berbuih selain adanya kesan luka kecil pada bahagian kepalanya.

“Selepas dibawa ke hospital berhampiran, doktor mengesahkan Abdul Mu’izz meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi semalam.

Polis menyifatkan kematian penuntut itu sebagai kematian biasa dan tiada unsur jenayah.

Mohamad Hidayat berkata keluarga Abdul Mu’izz telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Mereka yang dalam perjalanan ke Surabaya juga meminta supaya jenazah Allahyarham dikebumikan di Surabaya,” katanya. — Bernama


Jenazah telah selamat disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid UIN Sunan Ampel. Jenazah kemudiannya dikebumikan di Surabaya atas persetujuan keluarga selepas Solat Asar tadi.

EM Indonesia diwakili oleh Warden, En Megat Mohd Samsul Megat Ismail beserta Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ustaz Abang Zainal Abidin Abang Ariffin bersama-sama hadir untuk memantau dan menguruskan urusan terakhir melibatkan Allahyarham.

Setinggi penghargaan diucapkan kepada PKPMI Cawangan Surabaya dan juga para pensyarah serta pengurusan UIN Sunan Ampel Surabaya yang banyak membantu melicinkan pengurusan jenazah daripada awal hingga selamat dikebumikan.

Semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan terakhir Allahyarham dan sama-sama kita mendoakan rahmat Ilahi dicucuri ke atas rohnya.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment