Tuesday, December 13, 2016

RNR dirancang akan dibina di Jambatan Batang Sadong



SADONG JAYA: Pusat rehat dan rawat seakan konsep Rehat dan Rawat (RNR) yang ada di Semenanjung Malaysia dirancang dibina di Jambatan Batang Sadong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, rancangan untuk membina RNR di kawasan itu bagi membantu meningkatkan aktiviti sosioekonomi masyarakat setempat.

“Kita merancang sesuatu seperti seakan-akan RNR yang ada di Semenanjung untuk dibina di kedua-dua belah jambatan, ia masih baharu lagi, bagi kami masa (untuk merealisikannya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan peserta Larian Jambatan Batang Sadong 2016 di padang Sekolah Kebangsaan Sungai Bulu di sini semalam.


Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata perancangan untuk membina RNR di situ turut dibincangkan bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan ADUN Simunjan Awla Dris.

Sebelum siapnya jambatan itu, masyarakat setempat mengambil peluang menjalankan aktiviti berniaga di Pangkalan Feri Batang Sadong.


Mengenai perasmian Jambatan Batang Sadong Nancy menjelaskan ia akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Disember ini.

“Persiapan untuk majlis perasmian berjalan lancar cuma pemasangan kanopi di tapak perasmian sahaja belum dilakukan.


“Malah, kita menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung akan datang menyaksikan majlis perasmian ini nanti,” ujarnya. - UB
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment