Friday, December 16, 2016

Kampung Entingan akhirnya diwartakan setelah wujud satu abad

KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Entingan gembira selepas kampung yang berusia lebih 100 tahun itu diwartakan sebagai Warta Rizab Komunal Bumiputera.

Ketua Kampung Entingan David Jiku Nader berkata, dengan pewartaan itu penduduk di situ lebih berasa selamat untuk tinggal serta menjalankan aktiviti pertanian di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kampung berkenaan.

“Hati kami sangat gembira selepas kerajaan menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Samarahan meluluskan permohonan kami bagi mewartakan tanah NCR penduduk Kampung Entingan ini.


“Selepas pewartaan tanah penduduk kampung ini, kami berasa lebih selamat untuk tinggal di sini dan tidak lagi perlu bimbang tanah NCR di kampung kami ini dicuri atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kaun Tanah Negeri (Kampung Tradisi) dan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Bahagian Samarahan yang disempurnakan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai kampung itu, Jiku memberitahu bahawa Kampung Entingan yang mempunyai 68 pintu (rumah) telah wujud pada 1904 lagi.

Tambahnya, tanah kampung yang seluas 64.20 hektar itu majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kalangan masyarakat Iban.

“Kampung ini sudah mempunyai sekolah, gereja, dewan masyarakat serta kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik,” jelasnya.

Selain itu, Jiku berkata selepas tanah NCR penduduk di kampung berkenaan diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, pihaknya berhasrat memohon mendapatkan surat hak milik individu tanah NCR mengikut Seksyen 18 kanun yang sama.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment