TRAGIK: Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori tersebut. |
ASAJAYA: Dua sahabat terbunuh akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas lalu terperosok di bawah sebuah lori di Kilometer 31, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Zairul Sharifudin, 22, dan Ismail Adam, 30, dan masing-masing dari Kampung Jemukan Tengah, Sadong Jaya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua mangsa semasa kejadian dalam perjalanan dari arah Asajaya menuju ke Sadong Jaya sekitar jam 8 malam.
“Semasa melalui selekoh, motosikal yang ditunggangi Mohamad Zairul bersama pembonceng (Ismail) dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan lori menyebabkan berlaku perlanggaran.
“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Asajaya dan mangsa (Zairul) disahkan meninggal dunia selepas itu.
“Manakala pembonceng (Ismail) yang turut mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyalamat Malaysia (JBPM) Sarawak juga dipohon untuk mengalihkan kedua-dua mangsa dari bawah lori tersebut.
Kedua-dua mangsa yang masih sedarkan diri selepas kemalangan dikejarkan ke klinik menggunakan ambulan EMRS JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.