Friday, June 28, 2019

Samarahan bakal berubah wajah - Minos

KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Datuk Peter Minos berkata Samarahan bakal mengalami beberapa perubahan fizikal dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata Pasar Basah yang terletak berhampiran Aiman Mall, dan sebuah pusat penjaja berhampiran jambatan Samarahan akan dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 7 Julai akan datang.

“Bahkan pusat penjaja jenis yang sama akan dibina di Asajaya, Sadong Jaya dan Tambirat bagi membantu golongan usahawan kecil menjana pendapatan tanpa perlu mengambil risiko akan bahaya jalan raya.

“Memang ada pihak yang tidak sukakan apa yang kita lakukan tetapi mereka perlu akur, kerana kerajaan akan menaik taraf laluan jalan pesisir kepada dua lorong dari jambatan Sadong ke jambatan Samarahan.

“Jelas sama sekali kita tidak dapat membenarkan mereka untuk berjaja di sekitar bahu jalan yang mungkin akan membahayakan nyawa penjaja itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian cawangan ke-10 CS Mini Market Sdn Bhd (CS Mini Market) Batu 9 1/2  Jalan Penrissen di sini pada 25 Jun lepas.

Minos berkata, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi menaik taraf jalan raya bagi mengatasi kesesakan pada waktu puncak.

Lampu trafik jenis 'regulated syncronize traffic' akan ditempatkan di hadapan UNIMAS, sementara tiga bulatan di Samarahan serta di Stutong dan Tabuan Tranquility akan dinaik taraf kepada persimpangan lampu isyarat.

Minos juga berkata kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT) Fasa Pertama merangkumi laluan Kuching-Samarahan Expressway juga dalam perancangan kerajaan, yang akan menelan kos sekitar RM4 hingga RM5 bilion dan menghubungkan beberapa poin di UNIMAS dan UiTM ke Kuching.

“LRT yang pertama di Kuching dan Samarahan seperti mana yang telah dijanjikan oleh Ketua Menteri akan dilaksanakan kerana kita sering meminta kemudahan tersebut untuk ditempatkan di sini,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, kerajaan juga akan membina sebuah hospital yang mempunyai kemudahan sekitar 300 ke 400 bilik untuk kegunaan pesakit yang akan dikongsi bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengambil contoh Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Semenanjung Malaysia.

Beliau bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenainya.

Sementara itu, beliau berharap lebih banyak usahawan seperti CS Mini Market, pemaju hotel bajet dan restoran untuk melebarkan sayap ke kawasan Samarahan.

Hadir sama, Pengarah CS Mini Market, Voon Chun Ching dan Pengurus Operasi Kumpulan CS Mini Market, Nicholas Lim.

Minos (kiri) ditemani Voon (dua kiri) dan Nicholas (kanan) merakam kenangan di CS Mini Market di Lorong Evergreen 2, Batu 9 1/2 Jalan Penrissen

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment