Tuesday, May 5, 2020

Lebih 15,000 disaring di bawah operasi ACD di Samarahan


Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) di Desa Ilmu dan Taman Uni Garden di Kota Samarahan telah menyaring 15,583 orang.

Timbalan Ketua Menteri juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada jumlah itu, 885 orang telah hadir untuk pengambilan sampel.

"Hanya seorang yang diberi temu janji belum hadir untuk pengambilan sampel. Pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan sedang membuat pengesanan terhadap individu tersebut.

"Hasil aktiviti pengesanan tersebut, tiga kes positif dapat dikesan dan mereka dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan," katanya pada sidang media, hari ini.

Uggah berkata operasi ACD di kedua-dua lokasi berkenaan telah berakhir pada 3 Mei lepas.

Operasi ACD di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden yang bermula pada 28 April lalu, melibatkan 50 pasukan terdiri daripada 20 agensi kerajaan dengan dua petugas bagi setiap pasukan mengendalikan proses saringan atau mengenal pasti kes aktif dari rumah ke rumah.

Kedua-dua kawasan berkenaan dipilih kerana dalam tempoh 14 hari, terdapat 20 kes dilaporkan dan melibatkan dua kematian. 

Sementara itu, pada hari ini Kuching dan Samarahan masih dikategorikan zon merah yang masing-masing mencatatkan 317 kes dan 97 kes positif COVID-19 secara keseluruhan.
Zon kuning melibatkan sembilan daerah manakala zon hijau pula sebanyak 29 daerah
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment