KOTA SAMARAHAN: Sebuah tapak longgokan tayar di sini musnah dalam satu kebakaran pada malam Ahad lalu.
Kebakaran itu hanya disedari salah seorang pekerja yang dalam perjalanan balik ke kuarters selepas keluar membeli barang sekitar jam 7 malam.
Operasi memadamkan kebakaran itu dimulakan sekitar jam 7.32 malam dengan bantuan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dan Balai Bomba Batu Lintang dengan kekuatan 14 anggota.
Api dikatakan setinggi 40 kaki membakar timbunan tayar seluas 40 meter panjang dan 40 meter lebar itu.
Tiada sebarang kesukaran dihadapi cuma apabila kebakaran itu membabitkan getah ia marak dengan cepat dan sukar dikawal.
Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam kes berasingan, bahagian dapur sebuah rumah sewa atas kedai rosak teruk dalam kebakaran pagi semalam.
Kebakaran itu dipercayai berlaku ekoran kebocoran gas.
Bagaiamanpun, ketangkasan dan kecekapan pihak bomba Tabuan Jaya dalam operasi jam 9.57 pagi itu berjaya mengelakkan kebakaran itu merebak ke bahagian lain.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.