Friday, October 28, 2016

Seramai 180,000 penjawat awam bakal menikmati kemudahan e-Pembelajaran

KOTA SAMARAHAN: Dianggarkan 180,000 penjawat awam bakal menikmati kemudahan e-Pembelajaran melalui Program Latihan Atas Talian NBOS termasuk di Sarawak menjelang tahun depan.

Program yang bermula tahun ini dan sedang dilaksanakan itu kini menerima dan melatih hampir 20,000 penjawat awam di seluruh negara, termasuk penjawat awam persekutuan dan negeri.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, pada fasa pertama pelaksanaan sasaran menetapkan 200,000 penjawat awam seluruh negara.

“Sehingga kini hampir 20,000 orang penjawat awam telah mengambil bahagian dalam Program Latihan Atas Talian NBOS ini dan 180,000 penjawat awam pada tahun depan.

“Mereka yang menyertai program ini boleh melakukannya sama ada dari rumah atau pergi ke Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) untuk mendudukinya,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Outreach Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 1Pesara Care di INTAN Kampus Sarawak di sini, semalam.

Latihan atas talian NBOS berkenaan merupakan satu latihan e-Pembelajaran yang membolehkan penjawat awam mempelajari apa itu NBOS selain mengetahui kes kajian dilakukan.

Ia merupakan elemen penting kerana selepas itu penjawat awam yang telah mengambil bahagian akan diminta menyumbang idea kreatif untuk NBOS bagi dilaksanakan di peringkat kerajaan sekali gus memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat terutamanya.

Berhubung program 1Serve yang dilaksanakan, Zabidi berkata, ia merupakan satu inisiatif transformasi yang digagaskan kerajaan melalui NBOS dan dilancarkan pada 2 November 2015.

“Melalui 1Serve ini, rakyat boleh mendapatkan semua pekhidmatan yang ditawarkan melalui satu kaunter.

“Misalnya di 1Serve JPA kita bukan sahaja menawarkan perkhidmatan JPA sahaja tetapi menyediakan perkhidmatan merentas jabatan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara bagi mereka yang mahu menukar kad pengelanan, Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memperbaharui lesen memandu selain Jabatan Imigresen bagi mereka yang mahu memperbaharui pasport,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau berharap kaunter 1Serve tidak hanya di JPA sahaja tetapi kementerian dan agensi lain di seluruh negara bagi memudah dan memanfaatkan orang ramai khasnya.

Sementara itu bagi 1Pesara pula ujarnya, inisiatif bagi menjaga kebajikan pesara penjawat awam yang memberi fokus perkhidmatan kepada golongan pesara kerajaan.

“Ia termasuk kesejahteraan pesara, panduan bekerja semula, pembangunan keusahawanan dan pengurusan kewangan serta kelangsungan kesihatan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri menyambut baik program NBOS JPA yang dilihat akan menjadi platform kepada penjawat awam berkongsi pengalaman.

“Ia juga penting kerana melaksanakan hebahan dan meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan inisiatif NBOS JPA kepada kumpulan fokus utama 1 Serve dan 1 Pesara di kalangan penjawat awam,” katanya.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment