Friday, November 11, 2016

MPKS lakar sejarah baharu Kota Samarahan


Sejarah Daerah Samarahan tercipta apabila menyaksikan pertukaran nama Majlis Daerah Samarahan (MDS) kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) berkuat kuasa hari ini.

Majlis penuh bersejarah itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Dewan Suarah Kota Samarahan pada pagi ini jam 9 pagi.

MDS merupakan satu-satunya majlis daerah yang dinaiktaraf kepada majlis perbandaran di Sarawak dalam tempoh sedekad sejak 1996.

Ia dinaik taraf daripada daerah kepada bahagian 10 tahun lalu.

Wali Kota Datuk Peter Minos memberitahu pemberita semalam, MPKS sememangnya layak dinaik taraf kerana kawasan itu merupakan kawasan yang pesat membangun di negeri ini.

Malah, katanya Samarahan juga memenuhi keperluan syarat untuk menjadi majlis perbandaran berdasarkan populasi dan pembangunan infrastruktur lain.

“Populasi penduduk di sini sudah melebihi 180,000 dan jumlah ini semakin bertambah. Terdapat lebih 80 kawasan perumahan dan 20 lagi akan dibangunkan dalam masa terdekat.

“Samarahan merupakan satu kawasan yang paling pesat membangun di Sarawak terutamanya dalam perumahan. Selain itu terdapat dua kem askar di sini termasuk pangkalan tentera udara,” katanya.

Pada masa sama Minos memberitahu kawasan beli belah di situ juga membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan dan pada masa ini hasil tahunan minimum adalah sebanyak RM20 juta.

Selain itu, menurutnya Samarahan juga merupakan hub pendidikan sejak tertubuhnya dua universiti termasuk Institut Pendidikan Guru.

Tambahnya lagi, lebih banyak institusi pendidikan seperti universiti hospital dan universiti kejururawatan di kawasan itu.

Malah, beliau memberitahu Samarahan juga mempunyai ba-nyak pejabat pentadbiran kerajaan termasuk Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, pusat penyelidikan dan banyak lagi.

Minos dilantik menjadi walikota pada 1 Ogos lalu, melancarkan perancangan pelan pembangunan di kawasan itu.

“Penaiktarafan bermaksud lebih banyak peruntukan kerajaan dan jumlah kakitangan diperlukan untuk melakukan lebih banyak perkara untuk penduduk di Samarahan.

“Kita mahu melihat Samarahan membangun dalam keadaan strategik dan cantik dan kita juga mahu Samarahan mempunyai hospital sendiri, taman pengurusan sisa buangan sendiri dan banyak lagi,” ujarnya.

Berkaitan masalah kesesakan merupakan isu utama di kawasan itu, Minos berkata, dengan naiktaraf dan tambahan peruntukan, masalah kesesakan menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

Menurutnya lagi, beliau mahu menjadikan Samarahan sebuah kawasan harmoni yang selamat, bersih dan cantik. - UB
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment