Monday, October 16, 2017

Kanak-kanak cedera parah main sorok-sorok



Kota Samarahan : Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas dilanggar sebuah motosikal ketika bermain ‘sorok-sorok’ dalam satu kejadian di sebuah kampung di Kota Samarahan dekat sini, sekitar jam 9 malam kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia lima tahun semasa kejadian bermain bersama rakan-rakannya apabila dikatakan tiba-tiba berlari ke arah jalan menyebabkan penunggang motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter dari tempat kejadian serta cedera di kepala dan dikhuatiri mengalami patah tulang kaki.

“Mangsa dikatakan terlalu seronok bermain ‘sorok-sorok’ dengan rakan-rakannya sehingga tidak menyedari kehadiran motosikal tersebut dan terus berlari ke arah jalan raya menyebabkan dia dilanggar,” kata sumber.

Keluarga mangsa yang menyedari insiden tersebut kemudian segera mendapatkan bantuan sebelum mangsa dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan sekitar jam 1 pagi semalam.

“Bagaimanapun, keadaan mangsa yang parah memaksa dia dirujuk ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan keadaan mangsa telah stabil, namun masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.

Manakala penunggang motosikal terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik berdekatan.

Sumber Berita : Borneo Post
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment