Wednesday, November 22, 2017

Jururawat Bantu Sambut Kelahiran Bayi di Rumah


KOTA SAMARAHAN, 20 Nov 2017 - Pagi hujung minggu yang tenang bagi seorang jururawat bertukar menjadi saat mencemaskan apabila menerima panggilan daripada jirannya, memaklumkan bahawa adik iparnya hendak melahirkan anak.

Puan Hajah Saptuyah yang baru sahaja selesai beriadah bersama suaminya terkejut apabila terdengar orang menjerit dan mengetuk pintu rumahnya.

"Saya sangat terkejut dan terus mengambil sarung tangan steril dari almari dan terus bergegas ke rumahnya. Semasa dalam perjalanan, saya cuba menenangkan diri saya dan memikirkan tindakan yang harus saya lakukan untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi," katanya ketika ditanya.

"Apabila saya tiba di rumahnya, saya melihat bayi tersebut sudah keluar separuh badan. Saya membuat keputusan untuk membantu si ibu melahirkan terus anaknya kerana tidak sempat lagi menunggu kedatangan ambulans ataupun membawanya ke hospital, ketika itu saya banyak bergantung kepada Allah untuk memudahkan segala-galanya," ulasnya lagi.

Dengan langsung tidak berbekalkan peralatan bantuan melahirkan bayi, Puan Hajah Saptuyah berusaha sebaik mungkin berbekalkan ilmu perbidanan yang beliau pelajari sebelum ini.

"Kali terakhir saya menyambut kelahiran bayi adalah pada tahun 2011, dan itupun ketika di hospital yang lengkap dengan peralatan menyambut kelahiran. Situasi cemas ini sangat berbeza dan memaksa saya menggunakan apa sahaja peralatan seperti tuala bersih dan benang untuk mengikat tali pusat - selagi mana tidak mengancam nyawa ibu atau anak."

Ambulans tiba satu jam selepas bayi disambut dengan selamat. Ibu dan anak dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Kredit : Mohammed Rasheedan b Ellin
Melalui : FB I-Medik
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment