Kota Samarahan: Jalan Dato Mohd Musa atau lebih dikenali dengan jalan Muara Tuang akan dibesarkan kepada empat lorong daripada 2 lorong yang sedia ada.
Naik taraf laluan tersebut bermula dari G3, depan bangunan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) sehingga Kota Sentosa.
Usaha ini dilakukan demi mengatasi kesesakan lalulintas di kawasan berkenaan. Jalan ini turut dihubungkan dengan lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof pada sidang media selepas meninjau Kampus Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak berkata, kawasan Kota Sentosa juga dibina simpang bertingkat, memudahkan pergerakan pengguna.
Turut dirancang ialah pembinaan jejambat di bulatan Jalan Datuk Mohamad Musa dijangka bermula dalam masa terdekat ini.
Menurut beliau, inisiatif ini diharap memberi alternatif kepada penduduk Samarahan berdepan kesesakan lalu lintas yang tertumpu di jalan pesisir Expressway Samarahan-Kuching.
Mengulas perkembangan pembinaan Jambatan Batang Samarahan, Fadillah berkata ia dijangka siap hujung sepenuhnya Jun ini untuk memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan ini.