Friday, March 6, 2020

Projek Lampu Isyarat Pintar dan Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching - Samarahan Akan Dilaksanakan Untuk Mengurangkan Kesesakan Lalulintas


KUCHING: Untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di laluan antara Kuching dan Samarahan, lima bulatan dari Stutong ke Samarahan telah dikenalpasti untuk dinaik taraf kepada sistem lampu isyarat pintar.


Pembinaan lampu isyarat untuk menggantikan bulatan ini akan dilaksanakan pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 15 bulan.

Menurutnya lagi, mesyuarat telah pun diadakan dengan pihak Jabatan Kerja Raya mengenai perkara ini. Berdasarkan kepada aduan orang ramai, 5 bulatan ini merupakan bulatan yang sering menghadapi masalah kesesakan lalu lintas.

“Kami akan mengubah bulatan kepada persimpangan dengan lampu isyarat untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sepanjang kawasan itu,” jelasnya.

“Projek ini merupakan projek kerajaan negeri dan tender akan dibuka tidak lama lagi.

“Saya berharap menjelang akhir tahun 2021, semua ini akan selesai dan semua bulatan tersebut akan menggunakan sistem lampu isyarat pintar,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini(semalam).

Lima bulatan yang dimaksudkan adalah susur keluar dari Jalan Setia Raja ke Jalan Canna (Kompleks Polis Tabuan Jaya), Stutong-Samarahan (Selepas Pasar raya Giant), persimpangan ILP/LKIM(Samarahan Expressway), Pusat Jantung Sarawak-Samarahan (Samarahan Expressway) dan UNIMAS-Kota
Samarahan (Samarahan Expressway).

Lee bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kos anggaran bagi projek ini.

Projek Sistem lampu isyarat pintar telah pun bermula pada november tahun lepas dan akan selesai pada oktober tahun ini. Projek perintis ini sedang giat dilaksanakan di Kuching melibatkan 42 lampu isyarat.

Jelas beliau lagi, sistem ini melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengurus dan mengawal lalu lintas.

"Sebagai contoh, apabila terdapat kesesakan lalu lintas, sistem berkenaan akan memberikan masa yang lebih lama kepada lalu lintas.

"Sistem itu akan dilaksanakan di bahagian lain di Sarawak selepas dilaksanakan di Kuching," katanya.

Tambahnya, pusat kawalan arahan utama juga telah ditubuhkan di Kuching untuk tujuan ini, manakala pusat kawalan serantau akan ditubuhkan di Sibu, Miri dan Bintulu tidak lama lagi.

Ketika ditanya permberita mengenai sistem pengangkutan awam iaitu sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan dibina dari Kuching ke Samarahan, Lee berkata butiran akan dibincangkan dan diumumkan kemudian.

Menurut laporan pada 4 Januari lalu, pelaksanaan (ART) untuk laluan Kuching-Samarahan akan direalisasikan sekitar tahun 2025.
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment