Thursday, December 7, 2023

Sarawak jangka trem ART bakal beroperasi seawal 2026 – ujian perjalanan cecah 6,000 km setakat ini

Kerajaan negeri Sarawak menjangkakan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) bakal beroperasi sepenuhnya seawal 2026. Biar pun pada asalnya, trem ART yang merupakan sebahagian daripada Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) direncanakan mula beroperasi pada 2028 apabila tiga laluan yang ditetapkan siap pada penghujung tahun 2027.

Menurut Menteri Pengangkutannya, Datuk Seri Lee Kim Shin, buat masa ini kerja-kerja sedang giat dijalankan bagi menyiapkan laluan dari Depo Rembus di Kota Samarahan ke stesen Hikmah Exchange sepanjang 27.6 km, laporan Harian Metro.

“Apabila laluan pertama itu beroperasi, kita akan memberi tumpuan pula bagi menyiapkan dua lagi laluan iaitu dari Kuching Central ke Pending, sejauh 12.3 km dan stesen Damai Sentral ke Damai Central di Santubong, meliputi jarak 30 km,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak ART ‘Proof of Concept’ di Le Promenade Mall semalam.


Tambah beliau, laluan berkenaan dijangka siap pada penghujung tahun 2025 dan ART akan memberi perkhidmatan sepenuhnya kepada orang ramai awal tahun 2026.

Katanya lagi, buat masa ini, prototaip ART itu masih terus menjalani ujian pemanduan bagi mengenal pasti sebarang masalah terhadap trem tiga gerabak berkuasa hidrogen itu serta laluannya.

“Trem berkenaan sudah melalui ujian hampir 6,000 km perjalanan. Dalam tempoh September lalu hingga kini, lebih 2,500 orang dibawa sepanjang ujian pemanduan.

“Kita sedang kumpul data mengenai prestasi ART itu untuk menilai apa yang perlu diubah sebelum kita memaklumkannya kepada pengeluar di China. Antara pengubahsuaian yang akan diminta ialah reka bentuk trem yang lebih aerodinamik,” katanya.

Setakat ini, Sarawak sudah menempah 38 unit trem ART untuk menyediakan perkhidmatan di tiga laluan yang sudah ditetapkan itu. Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menamakan trem tersebut sebagai ‘Bulan’, sempena dengan nama keretapi pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946, sebelum perkhidmatannya ditamatkan ketika zaman penjajahan Jepun.

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment